Karnival Pendidikan Islam Kelantan 2026

- Advertisement -

KARNIVAL Pendidikan Islam Kelantan 2026 akan berlangsung selama dua hari bermula 26 hingga 27 April depan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kubang Kerian.

Program yang menghimpunkan pelbagai agensi pendidikan itu dijadual bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 5 petang, dengan pengisian yang memberi tumpuan kepada pembangunan hala tuju pendidikan generasi muda di negeri ini.

- Advertisement -

Mengangkat tema “Membina Hala Tuju Pendidikan Generasi Anak Kelantan”, karnival tersebut dianjurkan secara bersama oleh beberapa pihak termasuk Yayasan Islam Kelantan (YAKIN) dan agensi berkaitan pendidikan negeri.

Antara pengisian utama ialah pameran pendidikan melibatkan fakulti dan agensi, persembahan nasyid serta kalam jamaie, selain cabutan bertuah dan gerai-gerai jualan yang dijangka menarik kehadiran pengunjung.

Penganjuran karnival ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dan masyarakat mengenai peluang pendidikan Islam serta peranan institusi dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak.

Orang ramai khususnya pelajar sekolah, lepasan peperiksaan SPM, STPM dan STAM dijemput hadir bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laluan pendidikan yang ditawarkan.

Program ini juga dilihat sebagai platform menghimpunkan institusi pendidikan dan masyarakat dalam usaha memperkukuh jaringan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan Islam di Kelantan. -HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -