Wakil rakyat: Seimbangi turun padang, kuasai fakta dan dasar

- Advertisement -

SENARIO politik mutakhir mendesak wakil rakyat memainkan peranan dalam cakupan yang lebih luas.

Tanpa menafikan wajah insani politik yang membuat rakyat berasa dilihat, didengar dan dihargai melalui keaktifan menghadiri kenduri, menziarahi orang sakit, menyantuni warga emas, menyampaikan bantuan atau turun melihat longkang tersumbat, lebih luas cakupannya, wakil rakyat perlu sedar politik juga berlaku memadai dikenali sebagai gerangan yang, wakil rakyat perlu berpolitik di dalam dewan, di atas meja mesyuarat, di celah dokumen dasar, dalam angka belanjawan, pada rang undang-undang dan dalam keputusan yang kesannya bakal dirasai generasi akan datang.

Di sinilah pentingnya kedua-dua pihak yakni masyarakat dan pemimpin sedar di samping berkhidmat kepada rakyat, wakil rakyat perlu menguasai fakta dan dasar.

- Advertisement -

Tanpa fakta, simpati boleh menjadi sekadar perasaan atau niat baik boleh tersesat laksana pelayar yang memiliki hati besar namun tiada peta, kompas dan ilmu membaca bintang.

Kompas moral

Nik Bahrum Nik Abdullah

Catatan Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Nik Bahrum Nik Abdullah pada 29 Jun membuka satu ruang renungan yang menarik.

Beliau memetik pandangan gurunya, Dato’ Sri Amar Diraja Dato’ Dr Mohd Amar Abdullah (Dato’ Nik Amar) sebagaimana berkata, “Seorang Yang Berhormat Ustaz tidak lagi boleh berdiri atas nama ustaz semata-mata. Dia perlu memiliki satu bidang spesifik yang didalami dengan serius berbanding orang lain.”

Misalnya, Dato’ Nik Amar memilih sejarah. Ada yang memilih ekonomi. Ada juga yang menekuni sains.

Pandangan pemimpin di atas lahir daripada kesedaran bahawa agama, politik dan pentadbiran mesti bergerak seiring atau tidak boleh bergerak dalam bilik yang terpisah-pisah.

Oleh itu, Nik Bahrum yang memilih bidang perundangan sebagaimana latar pendidikannya berpendapat, agama memberi kompas moral jadi wakil rakyat perlu memahami jalan yang sedang ditempuh oleh masyarakat.

“Al-Quran dan hadis tetap menjadi pedoman utama, namun umat hari ini berhadapan dengan persoalan yang semakin kompleks. Mereka bukan sahaja bertanya tentang rukun solat, puasa dan zakat.

“Mereka juga bertanya tentang kos sara hidup, dasar subsidi, kecerdasan buatan, ekonomi digital, pilihan raya, perlembagaan, pekerjaan, perumahan dan masa depan anak-anak.

“Maka, memahami hukum faraid itu penting tetapi memahami mengapa semakin ramai warga emas hidup bersendirian juga penting.

“Memahami hukum jual beli itu penting tetapi memahami bagaimana ekonomi digital mengubah cara manusia mencari rezeki juga penting.

“Memahami siyasah syariyyah itu penting tetapi membaca dinamika pilihan raya, algoritma media sosial dan perangkap naratif politik moden juga sangat kritikal,” jelasnya ketika ditemu bual pada Isnin, 29 Jun.

Pembawa suara rakyat dan legislator

Penulis yang terdidik dengan ilmu sains politik teringatkan nota kuliah alam kampus dahulu di mana dalam sains politik, wakil rakyat memainkan dua peranan utama.

Pertama, sebagai wakil kawasan yang membawa suara rakyat. Kedua, sebagai legislator yang meneliti, membahas dan membuat keputusan terhadap dasar, undang-undang serta peruntukan awam.

Peranan pertama mudah dilihat. Rakyat nampak apabila wakil rakyat turun padang, menyampaikan sumbangan, menghadiri program masyarakat atau mendengar aduan penduduk.

Peranan kedua pula sering berlangsung dalam ruang yang kurang dramatik, kurang bergambar dan kurang tular. Namun, di situlah nasib wang awam, struktur dasar dan arah pembangunan negeri ditentukan.

Hal yang sama diutarakan Nik Bahrum yang juga pengamal undang-undang. Beliau menegaskan, tugas seorang legislator berucap ketika persidangan berlangsung.

Namun sebelum sesuatu isu dibahaskan atau diputuskan, wakil rakyat perlu meneliti laporan jabatan, kertas dasar, cadangan projek, laporan kewangan, rang undang-undang dan pindaan undang-undang yang kadangkala mencecah ratusan muka surat.

Mereka perlu menyemak statistik, mendapatkan maklumat tambahan daripada agensi berkaitan, menilai implikasi kewangan serta memahami kesan sesuatu cadangan kepada rakyat dan kerajaan.

Nah, di sinilah bezanya antara politik pertunjukan dengan politik pertimbangan. Politik pertunjukan hidup pada tepukan, gambar dan slogan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, dalam demokrasi, dewan perundangan ialah bengkel besar tempat masa depan rakyat dibentuk.

Di situlah peruntukan pembangunan dibahaskan. Di situlah undang-undang diperhalusi.

Di situlah dasar dinilai sama ada benar-benar menyelesaikan masalah atau hanya menampal retak pada dinding yang sudah condong.

Bertitik tolak daripada premis itu, kita fahami apabila kerajaan membentangkan peruntukan pembangunan, legislator perlu memastikan wang awam dibelanjakan secara berkesan.

Setiap ringgit yang tercatat memperincikan kos jalan kampung yang dibaiki, sekolah yang dinaik taraf, saliran yang diselenggara, peluang niaga kecil yang dibuka atau bantuan yang sampai kepada keluarga yang memerlukan.

Wang awam ialah amanah. Jika tersilap urus, jalur akaun perbendaharaan negeri mahupun negara akan cacat, lajur kehidupan rakyat terencat!

Oleh sebab itu, apabila rang undang-undang dibentangkan, wakil rakyat perlu bertanya adakah undang-undang ini melindungi hak rakyat?

Adakah polisi sekian-sekian menyelesaikan masalah sebenar? Adakah peratusan itu ini boleh dilaksanakan secara adil?

Adakah akta begitu begini membuka ruang penyalahgunaan kuasa? Adakah enakmen yang bakal dipinda memberi kesan sampingan yang belum difikirkan?

Soalan-soalan inilah kerja sunyi yang menentukan mutu pemerintahan.

Sikap intelektual

Namun, pandangan ini juga perlu dinilai secara kritis. Tidak semua wakil rakyat mampu menjadi pakar dalam semua bidang.

Politik moden terlalu luas. Ekonomi, teknologi, undang-undang, kesihatan awam, perubahan iklim, pendidikan dan keselamatan sosial memerlukan kepakaran tersendiri.

Maka, tuntutan menguasai fakta dan dasar bukan bermaksud setiap wakil rakyat mesti menjadi ensiklopedia berjalan.

Yang lebih penting ialah sikap intelektual yang rajin membaca, rendah hati bertanya kepada pakar, berani mengakui keterbatasan diri dan tidak menjadikan kejahilan sebagai gaya politik.

Di sinilah letaknya nilai besar pandangan Nik Bahrum berdasarkan pencerapan beliau terhadap buah kilas gurunya.

Beliau tidak menyarankan wakil rakyat meninggalkan kerja kawasan. Sebaliknya, beliau mengingatkan rakan satu profesion, kerja kawasan dan kerja dewan mesti saling melengkapi.

Turun padang memberi wakil rakyat deria kemanusiaan. Membaca dasar memberi mereka ketajaman keputusan.

Tanpa turun padang, dasar menjadi terlalu dingin. Tanpa penguasaan dasar, khidmat masyarakat menjadi terlalu reaktif dan terputus-putus.

Hakikat tersiratnya, masyarakat juga perlu mengubah cara menilai wakil rakyat. Jangan hanya mengukur prestasi melalui jumlah program yang dihadiri atau gambar yang dimuat naik.

Tanyalah juga apakah isu yang dibawa di dewan? Apakah data yang digunakan? Apakah dasar yang diperjuangkan?

Apakah peruntukan yang disemak? Apakah undang-undang yang diteliti? Apakah kesan jangka panjang yang dipertahankan?

Ilmu itu sidi guru. Umat yang berilmu lebih sukar ditipu. Rakyat yang memahami sistem lebih payah dipermainkan.

Demokrasi yang matang memerlukan pemimpin yang baik hati, berpengetahuan, berdisiplin dan berfikir jauh.

Dalam politik, hati yang ikhlas ialah akar. Fakta ialah batang. Dasar ialah dahan. Manfaat kepada rakyat ialah buahnya.

Jika salah satu rapuh, pohon pemerintahan mudah tumbang dipukul angin persepsi.

Akhirnya, wakil rakyat yang baik ialah orang yang datang ketika rakyat susah dan mesti menjadi orang yang bersedia ketika keputusan besar dibuat.

Dia hadir di tengah masyarakat dengan empati, dan hadir di dalam dewan dengan ilmu.

Di situlah politik kembali kepada makna asalnya iaitu seni mengurus kehidupan bersama dengan amanah, akal dan keberanian moral.-HARAKAHDAILY 3/7/2026

Penulis ialah Pengarang di Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN)

- Advertisement -