
TENGGARA: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Pasir Raja, Yuhanita Yunan mengakui sedar bahawa amanah sebagai pemimpin bukanlah tanggungjawab mudah.
Menurutnya usaha mendekati masyarakat tidak hanya terhad kepada musim pilihan raya, sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memahami secara langsung keperluan, cabaran serta denyut nadi kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program sarapan pagi bersama dua pemimpin wanita berpengalaman sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 (PRN16 Johor).
Mereka ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Temerloh, Ustazah Salamiah Mohd Nor ketika mengadakan walkabout di Pasar Pagi Sanggar Kota, di sini.
Yuhanita berkata, pertemuan bersama kedua-dua tokoh wanita berkenaan memberi ruang kepadanya menimba pengalaman serta meneladani pendekatan khidmat bakti yang konsisten dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.
“Tokoh seperti mereka menjadi inspirasi kepada saya dalam usaha memberikan khidmat yang lebih berkesan kepada masyarakat. Ia juga membuktikan pentingnya kerjasama dan komitmen dalam membawa perubahan positif khususnya di Pasir Raja,” katanya.
Beliau turut meluangkan kesempatan meninjau suasana Pasar Pagi Sanggar Kota dengan beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung yang hadir.
Dalam pertemuan itu, beliau tidak hanya mendengar keluhan dan pandangan masyarakat, malah turut mendoakan agar para peniaga dikurniakan rezeki yang murah serta dipermudahkan urusan perniagaan harian mereka.
“Semoga hari ini dipermudahkan urusan semua peniaga dan dikurniakan rezeki yang lebih baik,” katanya ketika menyantuni warga pasar.
Menurut Yuhanita, pengalaman turun padang itu memperlihatkan sendiri realiti kehidupan rakyat yang memerlukan perhatian berterusan daripada seorang wakil rakyat, bukan sekadar janji pada musim kempen.
“Saya percaya pemimpin rakyat harus sentiasa bersama rakyat, memahami isi hati mereka dan tidak hanya berada di pejabat. Kehadiran saya di sini adalah untuk mendengar sendiri suara rakyat serta mencari solusi yang lebih praktikal,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pertemuan secara bersemuka penting sebagai sebahagian daripada usaha membina kepercayaan dan hubungan yang lebih erat antara pemimpin dan masyarakat.
Pada masa sama, beliau menyeru seluruh masyarakat Pasir Raja agar terus bersatu-padu dalam usaha membangunkan kawasan tersebut ke arah yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya maju.
Yuhanita beriltizam menjadikan usaha kebajikan sebagai antara teras perkhidmatannya serta memberi perhatian kepada penduduk yang memerlukan termasuk warga emas dan pesakit kronik.
Dalam sesi ziarahnya, beliau berkunjung ke kediaman Aisyah Ismail, seorang warga emas berusia lingkungan 80-an di Taman Sri Perang yang mengalami masalah kesihatan lutut.
“Setiap wajah yang kami jumpa, setiap cerita yang mereka bawa adalah tanggungjawab kami. Saya mendengar sendiri pengalaman hidup mereka dan ini menguatkan lagi komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat Pasir Raja,” katanya.
Beliau turut meluangkan masa menziarahi pesakit yang sedang menjalani rawatan di Pusat Dialisis Taman Daiman.
Dalam pertemuan tersebut, Yuhanita mendengar pelbagai perkongsian mengenai cabaran hidup yang dihadapi pesakit buah pinggang, termasuk kos rawatan, perjalanan berulang-alik serta keperluan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.
Katanya, golongan pesakit kronik tidak seharusnya berasa tersisih kerana mereka juga berhak menikmati perhatian dan pembelaan sewajarnya.
“Mereka adalah warga Pasir Raja yang saya sayangi. Setiap senyuman dan kekuatan mereka menjadi inspirasi untuk saya terus bekerja memastikan tiada yang tertinggal,” ujarnya.
Dalam lawatan berasingan, Yuhanita turut menziarahi Khalid Mat Saman, 81, di Taman Sri Ahmad Perang yang mengalami masalah pendengaran.
Pertemuan itu turut memberi peluang kepada beliau mendengar luahan isteri Encik Khalid yang bekerja sambilan sebagai pengasuh bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga.
Menurut beliau, kisah yang dikongsikan keluarga tersebut menggambarkan masih ramai penduduk yang berdepan cabaran hidup dan memerlukan perhatian lebih menyeluruh daripada semua pihak.
“Pasir Raja yang sejahtera bermula dari setiap rumah dan setiap keluarga. Saya akan memastikan suara mereka didengar dan kebajikan mereka diberi keutamaan,” katanya lagi.
Yuhanita mahu memastikan hubungan bersama rakyat diteruskan secara berterusan sekiranya diberi mandat mewakili DUN Pasir Raja.
Katanya, pembangunan sesebuah kawasan bukan hanya diukur melalui projek fizikal, tetapi juga sejauh mana kebajikan rakyat, terus dipelihara serta diberikan perhatian sewajarnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2026













