
BAKRI: Keperibadian mesra rakyat, pengalaman lebih empat dekad bersama PAS serta komitmen membantu golongan memerlukan menjadi antara kekuatan Arshed Yahya atau lebih dikenali sebagai Awang.
Yang Dipertua PAS Kawasan Bakri, Ustaz Kamarul Nizam Mohd Suhut meyakini Awang sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram N.13 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.
Beliau berkata, Awang yang juga anak jati Simpang Jeram dikenali sebagai seorang mudah didekati dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Saya kenal Awang sejak kecil. Dia seorang yang suka menolong orang dan sentiasa membantu walaupun tidak mengenali seseorang. Akhlaknya baik dan hubungannya juga sangat baik dengan semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu temu bual.
Menurut beliau, pengalaman Awang sebagai usahawan tani dan penternak lembu turut menjadikan beliau dikenali dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, selain mempunyai kepakaran dalam urusan penyembelihan.
“Ramai mendapatkan khidmat beliau untuk urusan penyembelihan kerana mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang itu. Sebab itu beliau bukan sahaja disenangi orang Melayu Islam, malah turut dikenali masyarakat bukan Islam,” katanya.
Kamarul Nizam berkata, sifat pemurah Awang turut terserlah menerusi komitmennya membantu golongan asnaf secara berterusan di mana setiap hari Jumaat turun padang mencari sendiri golongan asnaf yang memerlukan tanpa menunggu mereka datang meminta bantuan.
“Setiap hari Jumaat, Awang akan mencari golongan asnaf untuk dibantu. Beliau tidak menunggu orang datang meminta, sebaliknya turun sendiri menyantuni mereka yang memerlukan.
“Harapan kami, masyarakat memberikan peluang kepadanya untuk terus berkhidmat kepada Simpang Jeram. Semoga Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada Awang kerana jiwanya ialah jiwa rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Mudir Madrasah Tahfiz Al Quran At Tanwiriah berkata, Awang memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan semula PAS Kawasan Bakri ketika proses penyusunan semula organisasi pada 2018 dan 2019.
“Sewaktu proses penyusunan semula itu, orang pertama yang saya minta membantu ialah Awang. Beliau banyak menyumbang tenaga dan idea sehingga organisasi PAS Kawasan Bakri kembali tersusun.
“Bukan mudah hendak membangunkan semula kawasan, namun dengan kerjasama semua pihak, usaha itu berjaya dilaksanakan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, PAS Kawasan Bakri turut mempergiatkan pelbagai program kebajikan termasuk menyalurkan bantuan makanan dan kewangan kepada keluarga asnaf, khususnya ketika pandemik COVID-19.
Jelasnya, kira-kira 50 keluarga menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan yang turut dilaksanakan menerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan pengurusan bantuan dapat dijalankan dengan lebih sistematik.
“Semua bantuan disalurkan atas nama PAS dan juga melalui badan bukan kerajaan yang kami tubuhkan supaya sumbangan daripada ahli serta orang ramai dapat diuruskan dengan lebih teratur.
“Usaha membantu masyarakat akan terus diperkasakan supaya lebih ramai golongan memerlukan mendapat pembelaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2026











