Jual aset strategik MAHB wajib dapat kelulusan Kabinet

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti atau keputusan menjual aset strategik Malaysia Airports Holdings Berhad pada masa depan diwajibkan mendapat kelulusan Jemaah Menteri secara telus.

- Advertisement -

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, ketetapan itu antara syor utama yang dikemukakan hasil siasatan menyeluruh terhadap pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kewangan (MOF) dan MAHB.

Beliau berkata, siasatan itu dilaksanakan melalui 19 prosiding bermula Februari hingga Ogos 2025 dengan memanggil pelbagai pihak termasuk MOF, MOT, Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), syarikat penerbangan serta institusi berkaitan.

“Sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti ataupun keputusan penjualan aset strategik MAHB pada masa depan wajib mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri secara telus,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, walaupun MAHB telah melalui proses penswastaan dan penyahsenaraian, kerajaan masih mengekalkan kawalan strategik melalui pegangan 70 peratus saham oleh Khazanah dan KWSP serta hak khas (golden share) yang memberi kuasa kepada kerajaan dalam pelantikan kepimpinan syarikat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menegaskan, MAHB perlu menerbitkan laporan prestasi operasi dan petunjuk prestasi utama (KPI) secara berkala kepada umum.

PAC turut mencadangkan supaya laporan kemajuan projek berimpak tinggi termasuk projek Aerotrain, sistem pengendalian bagasi dan pembesaran lapangan terbang dibentangkan secara berkala kepada Dewan Rakyat dan PAC.

“MOF dan MOT wajib mengarahkan MAHB untuk mengemukakan laporan kemajuan fizikal dan laporan aliran tunai kewangan terperinci secara berkala bagi projek-projek berimpak tinggi, projek aerotrain, BSS dan pembesaran lapangan terbang bagi memastikan tiada kelewatan ataupun ketirisan kos yang berlaku.

“Seterusnya laporan-laporan prestasi dan kemajuan projek modal kritikal MHB tersebut hendaklah dibentangkan secara berkala di Dewan Rakyat serta dikemukakan kepada PAC Parlimen bagi membolehkan pengawasan semak dan imbang parlimen dapat dijalankan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata, aset dan tanah lapangan terbang kekal milik kerajaan, manakala MAHB hanya bertindak sebagai pengendali operasi.

Katanya, agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia terus melaksanakan kawalan sepenuhnya di pintu masuk negara, termasuk aspek keselamatan dan sempadan. – HARAKAHDAILY 1/7/2026

- Advertisement -