
Soalan:
Saya ada membeli sebuah buku yang mengandungi himpunan doa para wali dan orang soleh tetapi seorang kawan saya mengatakan tidak boleh mengamalkan doa dalam buku itu kerana doa itu bukan dari doa Nabi. Minta berikan penerangan.
Jawapan:
Harus hukumnya berdoa dengan doa-doa yang bukan dari himpunan doa Rasulullah sollallahu alaihi wasallam kerana Allah Taala menyuruh orang-orang beriman supaya berdoa dan memperbanyakkannya tanpa mensyaratkan dengan doa itu mesti dari Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.
Apa sahaja doa yang baik yang tidak bercanggah dengan syariat adalah dibolehkan dan ulamak telah sepakat dalam perkara ini lebih-lebih lagi doa dari para wali yang mereka ini sangat dekat dengan Allah Subhanahu Wa Taala.
Majlis Fatwa Jordan menyebut:
الإتيان بتهنئة أو دعاء لم يرد عن النبيّ صلى الله عليه وسلم ليس ممنوع شرعاً، بل هو من الأمور المباحة في ديننا إن لم يكن فيهما ما يخالف الشرع، فلا يشترطُ في كلِّ دعاء أن يرد به نصّ عن النبيّ صلى الله عليه وسلم، بل ورد الدعاء من القرآن الكريم والسنة النبوية المطهرة مطلقاً من أي قيد، قال تعالى: {وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ} البقرة/186؛ فلا حرج في أي صيغة أو تخصيصها بوقتٍ أو زمانٍ معين، ولا يجوز وصف ذلك بالبدعة أو بالحرمة لاندراجه تحت أصل الدعاء العام
Ertinya: “Mendatangkan ucapan tahniah dan doa yang tidak datang dari Nabi sollallahu alaihi wasallam tidak ditegah di sisi syarak bahkan ia adalah termasuk perkara-perkara yang diharuskan pada agama kita jika tidak ada padanya perkara yang menyalahi syarak. Maka tidak disyaratkan pada sekalian doa itu mesti datang dalilnya daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam bahkan telah datang doa dari Quran dan Sunnah Nabi secara mutlak tanpa sebarang kaitan. Firman Allah Taala: Dan apabila hamba-Ku meminta daripada Aku maka sungguhnya Aku dekat dan akan Aku perkenankan permintaan orang yang berdoa maka taatilah Aku dan berimanlah dengan-Ku pasti mereka akan mendapat petunjuk.” Al-Baqarah ayat 186. Maka tidak menjadi kesalahan pada apa pun bentuk doa dan tidak menjadi kesalahan mengkhusukan doa itu pada mana-mana waktu atau masa yang tertentu dan tidak harus menganggapnya sebagai bidaah atau haram kerana ia termasuk di bawah perintah berdoa yang umum.” (No Fatwa: 3554)
Kesimpulannya, harus berdoa dengan doa yang bukan daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam sama ada doa para wali atau doa orang-orang soleh atau doa para ulamak atau doa orang di zaman moden ini semuanya adalah harus dan larangan berdoa dengan doa yang bukan doa Nabi itu tidak datang dari para ulamak tetapi datang daripada ahli bidaah yang sangat bodoh lagi jahil.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 3/7/2026











