Pembangkang bidas reaksi balas PMX di Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa setiap teguran dan persoalan dibangkitkan adalah bersandarkan tanggungjawab menuntut ketelusan bagi pihak rakyat, bukannya sekadar membangkang tanpa asas demi kepentingan politik.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, pembangkang sentiasa memikirkan peranan sebagai ejen semak dan imbang bagi menilai setiap dasar, polisi, mahupun RUU baharu agar menepati kehendak rakyat serta standard antarabangsa.

Beliau menzahirkan rasa kesal terhadap reaksi balas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan representasi beliau ketika membangkitkan isu penangguhan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan di FELDA Ulu Belitong, Kluang, Johor yang sepatutnya berlangsung pada 20 hingga 21 Jun 2026.

“Ketika saya bangkitkan isu ini, Yang Amat Berhormat Tambun nampak macam mempersoalkan ini bangkit bagi pihak siapa? Saya nak jelaskan hari ini, kami ini bukan sahaja saya seorang, kami ini semua ini bangkit kerana untuk menentukan soalan itu berkepentingan kepada semua terutamanya rakyat di bawah sana.

“Pada kami, FELDA juga merupakan satu agensi yang mustahak bagi kerajaan untuk memastikan peneroka benar-benar dapat manfaat yang benar-benar boleh memberikan keselesaan kepada mereka, sama ada peneroka sekarang ataupun generasi yang kedua.

“Sebab itu bila kita bangkitkan isu ini, janganlah persoalkan ini bangkit untuk hak siapa? Bagi pihak siapa, saya hairan. Kalau Perdana Menteri nak menjawab kena tanya dulu ini engkau tanya ini bagi pihak siapa? Ini dah tak betul. Perdana Menteri… Perdana Menteri engkau itu pun mesti menjawab bagi pihak rakyat, berkepentingan rakyat,” bidasnya.

Hamzah turut memohon agar isu ‘bagi pihak siapa’ ini tidak lagi dibangkitkan oleh Perdana Menteri mahupun mana-mana Menteri Kabinet yang bertanggungjawab ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh blok pembangkang.

Selain isu FELDA, beliau turut menyentuh isu nasional yang hangat diperkatakan di peringkat akar umbi, iaitu pelaksanaan mekanisme harga minyak di stesen pam (pump price) serta pengurangan kuota subsidi bahan api berkenaan.

Beliau mengkritik pengurangan kuota daripada 300 liter yang diumumkan pada September tahun lalu kepada hanya 200 liter pada masa kini, di mana kerajaan sekadar menggunakan hujah peratusan kadar penggunaan rendah tanpa membentangkan data menyeluruh.

“Jadi hari ini, oleh kerana kerajaan hanya menjawab dari segi peratusan tidak banyak yang menggunakan minyak subsidi ini, kita mahu kerajaan buat secara prinsip berterus-terang. (Berapa) Kenderaan, jumlah yang didaftarkan di JPJ? Berapa motosikal? Berapa kereta? Berapa lori?

“Jadi barulah boleh cakap berapa peratusan keseluruhannya. Sebab kalau kita main pukul keliling, saya takut yang motosikal yang paling banyak. Motosikal ni memanglah kalau 300 liter itu melebihi. Jadi dia kata tak ada, tak banyak yang mengguna. Betullah.

“Engkau bagi 300 (liter), tetapi guna 150, memanglah tak guna, sebab dia mencukupi. Tetapi kepada yang lain, contohnya kereta-kereta mereka yang memandu untuk pergi pasar malam, pada saya 200 liter itu tak cukup. Kepada mereka yang berniaga, 200 liter itu tak cukup. Jadi jangan pukul kelilinglah,” bidasnya.

Beliau menambah, kegagalan kerajaan untuk telus dalam memberikan data terperinci pendaftaran kenderaan mengikut kapasiti enjin telah menyumbang kepada berlakunya defisit kepercayaan antara rakyat dengan pentadbiran semasa.

Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) mempunyai barisan kepimpinan yang pakar dan mempunyai akses kepada maklumat industri petroleum, termasuk beberapa pemimpin kanan parti mereka yang merupakan bekas pegawai tertinggi PETRONAS.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mendedahkan formula pengiraan harga mengikut Mean of Platts Singapore (MOPS) serta pelarasan ‘Automatic Pricing Mechanism’ (APM) bagi menolak keraguan umum bahawa rakyat yang sebenarnya sedang memberikan ‘subsidi’ kepada kerajaan akibat harga pam melebihi kadar sepatutnya.

“Sepatutnya harga itu pada sayalah, saya minta supaya kerajaan buktikan. Bukan buktikan, maklumkan kepada kita bahawa ianya memang betul. Inilah harga yang bertepatan supaya rakyat tidak merasai siapa yang subsidikan siapa?

“Jangan rakyat yang subsidi kerajaan. Jangan kerajaan kata dia banyak keluar subsidi, sebenarnya rakyat yang bantu kerana harganya melebihi dengan harga yang sepatutnya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Larut.

Ditanya pengamal media berhubung laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bahawa terdapat insiden pegawai penjara sendiri memulakan atau mencetuskan rusuhan, Hamzah memilih mengambil pendekatan berhati-hati memberikan ulasan.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya perlu mengadakan pertemuan dan perbincangan rasmi bersama kedua-dua pihak iaitu pegawai SUHAKAM dan pengurusan penjara bagi mendapatkan kepastian yang sahih demi memberikan ulasan bertanggungjawab.

Hamzah turut membangkitkan persoalan daripada pihak media kepada kerajaan mengenai kewajaran dan justifikasi pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebagai ahli jawatankuasa penasihat NFC.

Ia disebabkan Azam dikaitkan dengan beberapa isu yang sedang disiasat, namun Hamzah menutup sidang media dengan meminta Perdana Menteri menjawab persoalan tersebut demi kepentingan integriti institusi awam. – HARAKAHDAILY 2/7/2026

- Advertisement -