
KUANTAN: “Perlawanan mereka bukanlah tentang siapa menang siapa kalah semata-mata. Ia medan persahabatan, kesatuan dan kesukanan,” kata Dato’ Andansura Rabu.
Beliau menyatakan demikian susulan Kejohanan Tertutup Badminton anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Indera Mahkota dengan kerjasama Kelab Badminton Marvel di Semambu, malam semalam.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang itu berkata, mereka tidak membawa raket dan skil sahaja tetapi juga semangat kesukanan dan kesatuan yang tinggi.
Tambahnya, walaupun di luar dewan hujan lebat tetapi di dalamnya bergemuruh suara sorakan para pemain memberi sokongan kepada rakan-rakan sepasukan di gelanggang.
Menurutnya, seramai 50 orang peserta turun berentap di gelanggang mengikut kategori masing-masing dengan aksi padu dan lincah.
Katanya lagi, perlawanan mereka bukanlah tentang siapa menang siapa kalah semata-mata. Ia medan persahabatan, kesatuan dan kesukanan.
Beliau yang juga ADUN Beserah berkata, Kelab Marvel memiliki hampir 200 orang ahli dan sebahagiannya ada dari luar Kuantan.
Ujarnya, pelbagai aktiviti berkaitan sukan badminton dianjurkan termasuk lawatan, perlawanan persahabatan, bengkel dan latihan, serta acara-acara keraian dan perayaan.
“Komitmen kami dalam PAS sentiasa jelas. Kami mahu terus berada dekat di hati masyarakat, menyantuni segenap lapisan tanpa mengira kaum dan kepercayaan.
“Kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita bukanlah jurang, sebaliknya ia adalah keunikan dan kekuatan yang sentiasa kita hargai dan raikan,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemain yang mengambil bahagian.
Andansura juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada DHPP PASKIM di atas daya usaha yang sangat baik.
“Kepada Kelab Marvel, semoga terus maju jaya, berkembang maju dan mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru di masa hadapan.
“Insya Allah, ruang kerjasama akan diteroka dan diusahakan lagi di masa depan,” tambahnya.
Katanya lagi, PASKIM sentiasa komited menjadikan sukan, riadah dan rekreasi sebagai ruang untuk membina kehidupan bermasyarakat yang lebih sihat, harmoni dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 2/7/2026











