
SEMBRONG: Mazlan Bujang menegaskan bahawa integriti menjadi prinsip utama dipegang sepanjang berkhidmat sama ada dalam sektor kerajaan, bidang profesional mahupun politik.
Katanya, sepanjang berkhidmat dalam sektor kerajaan, rekod perkhidmatannya kekal bersih dan setiap amanah yang diberikan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Bagi saya, menjaga amanah sentiasa lebih utama daripada menjaga kepentingan peribadi,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Kahang itu.
Beliau berkata, pengalaman dalam bidang pembinaan turut mengajarnya supaya sentiasa mengutamakan integriti.
Antara dilakukan Mazlan ialah menasihati agar syarikat terlibat dalam sesuatu projek tidak bekerjasama dengan pihak yang boleh menimbulkan risiko terhadap kelancaran pelaksanaan projek.
Menurut beliau, kerjaya dan politik perlu dipisahkan supaya amanah dalam pekerjaan tidak dipengaruhi kepentingan politik, manakala politik pula mesti dipandu dengan nilai integriti, kejujuran dan tanggungjawab.
“Insya-Allah, jika diberikan kepercayaan oleh rakyat, saya akan terus berkhidmat secara telus, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Selain membawa agenda pembangunan, Mazlan turut mengamalkan pendekatan turun padang bagi mendengar sendiri pandangan penduduk.
Beliau berkata, pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejuruteraan dan pentadbiran negeri menjadi bekalan untuk memahami keperluan rakyat serta merancang pembangunan secara lebih tersusun.
“Setiap pandangan dan keluhan rakyat yang saya dengar akan menjadi amanah untuk saya perjuangkan sekiranya diberikan mandat oleh pengundi,” katanya.
Anak kelahiran Johor Bahru itu masih aktif sebagai jurutera mekanikal di sebuah syarikat pembinaan.
Dalam kerjaya politik pula, beliau pernah dipilih sebagai ADUN Puteri Wangsa sebelum menganggotai barisan EXCO Kerajaan Johor dengan memegang portfolio Kerja Raya dan Pengangkutan serta Pendidikan dan Penerangan negeri.
Menurut beliau, pengalaman itu memberi pendedahan luas dalam aspek pembangunan infrastruktur, pengangkutan, pendidikan, komunikasi serta pentadbiran kerajaan.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, beliau memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum meneruskan perjuangan bersama PAS di bawah tiket PERIKATAN NASIONAL bagi kerusi N.31 Kahang.
Bagi Mazlan, perpindahan daripada kawasan bandar ke kawasan luar bandar bukan satu kekangan, sebaliknya peluang untuk memanfaatkan pengalaman pentadbiran demi membantu masyarakat Kahang yang majoritinya tinggal di gugusan FELDA dan pekan kecil.
Katanya, antara keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan kemudahan asas, termasuk jalan raya, kemudahan awam, komunikasi dan akses kepada perkhidmatan kerajaan.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui industri kecil dan sederhana bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar.
Selain itu, pembangunan digital perlu diperkasakan dengan menambah liputan telekomunikasi supaya masyarakat luar bandar menikmati capaian internet yang lebih stabil.
“Internet bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya keperluan asas yang membolehkan rakyat mengakses pendidikan, menjalankan perniagaan, mendapatkan maklumat serta memanfaatkan teknologi,” katanya.
Menurut beliau lagi, kemudahan internet yang baik juga membuka peluang kepada lebih ramai penduduk luar bandar bekerja secara hibrid atau dari rumah tanpa perlu berhijrah ke bandar.
Dalam bidang pendidikan, Mazlan mahu memastikan anak-anak di Kahang mendapat peluang setanding dengan pelajar di bandar, selain meningkatkan pencapaian SPM dan STPM agar lebih ramai berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Bagi saya, minat, disiplin dan kesungguhan mampu membawa anak muda pergi lebih jauh,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2026











