Kuasa, nilai dan tadbir urus

Sebab mukmin perlu berada di pusat politik Negara

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

DALAM disiplin sains politik, kuasa ialah instrumen pemerintahan dan mekanisme yang menentukan norma, nilai dan arah peradaban.

Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan membuka ruang analisis yang tajam tentang hubungan antara kuasa politik dan pembentukan moral awam.

Pada asasnya, hujah beliau berlegar pada satu premis utama iaitu kekosongan kuasa oleh golongan berintegriti akan diisi oleh pihak yang tidak berpaksikan nilai agama.

Dalam ruang vakum itulah, norma boleh disusun semula tanpa rujukan wahyu dan masyarakat perlahan-lahan digerakkan ke arah relativisme moral.

- Advertisement -

Kuasa sebagai penentu struktur sosial dan moral

Apabila muncul kenyataan seperti “ini kerajaan kami, ikut suka kamilah”, kenyataan ini adalah manifestasi dominasi kuasa tanpa sempadan etika.

Dalam tradisi pemikiran Barat, keadaan ini menghampiri gagasan kedaulatan mutlak yang dibincangkan oleh Thomas Hobbes yang menyatakan kuasa berfungsi sebagai autoriti tertinggi tanpa batas moral yang jelas.

Namun dalam Islam, kuasa tidak pernah bebas nilai, justeru surah al-Hadid ayat 25 menegaskan bahawa para Rasul diutus dengan ‘kitab dan neraca’ agar manusia menegakkan keadilan.

Neraca itu melambangkan keseimbangan moral, sementara kitab menjadi rujukan normatif.

Kuasa tanpa kedua-duanya hanyalah struktur kosong yang mudah diselewengkan. Dalam kerangka ‘al-siyasah al-shariyyah’, kuasa berfungsi sebagai alat menzahirkan maqasid syariah seperti memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Tanpa asas ini, kuasa cenderung menjadi instrumen hegemoni budaya, yang mengawal undang-undang serta membentuk selera, gaya hidup dan imaginasi sosial rakyat.

Agama di bawah telunjuk politik

Kenyataan bahawa agama boleh diletakkan di bawah kuasa pemerintah menggambarkan fenomena instrumentalisasi agama.

Dalam konteks moden, hal ini sering berlaku apabila agama dijadikan simbol legitimasi politik, bukan sebagai asas pembentukan dasar.

Amaran Allah dalam surah al-Maidah ayat 44 menegaskan bahawa kegagalan berhukum dengan hukum Allah membawa implikasi serius terhadap legitimasi moral pemerintah. Keadaan ini boleh dihuraikan melalui konsep state capture (institusi awam termasuk institusi agama dikuasai oleh elit politik tertentu).

Apabila hal ini berlaku, ulama dan institusi fatwa kehilangan fungsi penyemak dan pengimbang yang kritikal. Mereka hanya berperanan sebagai penasihat simbolik tanpa kuasa eksekutif.

Natijahnya, agama tidak lagi menjadi sumber autoriti moral.

Kepentingan penyertaan golongan berakhlak

Dalam sistem demokrasi, kuasa diisi oleh mereka yang hadir secara aktif tanpa mensyaratkan orangnya mestilah yang terbaik.

Di sinilah letaknya keperluan penglibatan golongan mukmin yang berintegriti.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muhammad melalui Imam al-Bukhari menegaskan bahawa kehancuran berlaku apabila amanah diserahkan kepada yang bukan ahlinya.

Inilah prinsip tadbir urus yang mendalam kerana pembinaan kepimpinan yang berkompeten, berintegriti dan berpaksikan nilai ‘ethical elite governance’, penting untuk menjamin keadilan sosial. Kepakaran teknokratik sahaja tidak memadai.

Kuasa sebagai alat transformasi dasar

Sebagai contoh, pengalaman pemerintahan Islam di Kelantan khususnya di bawah kepimpinan Menteri Besar Kelantan Almarhum Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, menunjukkan bagaimana kuasa boleh menterjemah nilai kepada dasar.

Larangan judi, kawalan penjualan arak dan pendekatan sosial berteraskan Islam terbukti menjadi manifestasi kuasa yang berfungsi sebagai alat terjemahan dasar dan polisi.

Hujah ini diperkuatkan lagi dengan pendirian semasa Kerajaan Negeri Kelantan yang menegaskan bahawa penganjuran hiburan mesti berteraskan nilai, adab dan jati diri masyarakat.

Mohd Asri Mat Daud

Penegasan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud, bahawa hiburan tanpa kawalan berpotensi merosakkan akhlak memperlihatkan bagaimana kuasa digunakan untuk membentuk ekosistem budaya yang beradab.

Kenyataannya selari dengan teori budaya tadbir urus yang menekankan peranan negara dalam mengawal ruang budaya bagi memastikan kesejahteraan sosial.

Tanpa kawalan ini, budaya popular boleh berkembang secara liar dan menghakis nilai asas masyarakat.

Tadbir urus

Isu Festival Muzik Air di Bukit Bintang juga memperlihatkan dimensi lain kuasa, iaitu kecekapan tadbir urus dalam membuat keputusan tepat pada waktunya.

Dr Wan Martina Wan Yusof

Kritikan oleh Ahli Dewan Negara, Dr Wan Martina Wan Yusoff, bahawa tindakan pihak berkuasa bersifat ‘damage control’ menimbulkan persoalan tentang keupayaan sistem politik bertindak secara proaktif.

Fenomena ini boleh dijelaskan melalui konsep kerencatan tadbir urus ekoran institusi gagal bertindak pada masa yang sesuai walaupun amaran awal telah diberikan.

Apabila tindakan hanya diambil pada penghujung acara, kesannya menjadi simbolik, bukan substantif.

Lebih menarik, pandangan awal oleh pihak berautoriti agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menunjukkan bahawa mekanisme semak imbang sebenarnya telah berfungsi.

Namun kegagalan terletak pada tahap pelaksanaan dasar. Hal ini mengukuhkan hujah bahawa kehadiran nilai sahaja tidak mencukupi, keupayaan institusional untuk bertindak secara berkesan adalah mustahak.

Kuasa sebagai amanah dan jambatan peradaban

Kenyataan Dato’ Dr Mohamed Fadzli “itulah pentingnya kenapa kita mesti menang” wajar difahami sebagai memperoleh kapasiti institusional untuk menegakkan keadilan dan memandu masyarakat ke arah kebaikan.

“Kuasa politik kalau diberikan kepada orang yang baik dan tinggi pekerti, maka nilai agama akan diutamakan. Sebaliknya sekiranya orang baik menjauhkan diri dari politik, maka dengan mudah kuasa akan dipegang oleh orang yang tidak ada agama.

“Dengan kuasa mereka boleh buat apa sahaja. Waktu itu bukan sahaja orang agama, hatta menteri, mufti bahkan institusi agama negara sekalipun sudah tidak boleh berbuat apa-apa.

Sekadar nasihat atau pendapat. Dengan angkuh mereka boleh jawab “…kalau kamu tak suka, itu urusan kamu, bukan urusan kami, tak payah campur tangan…”.

“Waktu itu apa lagi yang ada pada kita? Kuasa di tangan mereka, kerana kita sudah kalah.

Arak itu haram

“Saya masih ingat lagi Allahyarham Tok Guru Nik Aziz pernah berkata dalam ceramahnya berpuluh tahun saya mengajar di masjid bahawa arak itu haram, judi itu haram, ja tetap juga ada.

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

“Tapi bila saya ada sedikit kuasa sebagai Menteri Besar, saya kata tutup kedai judi, tutup kedai arak, esoknya sudah tidak ada lagi kedai judi dan arak di Kelantan…”.

Sampai sekarang arak hanya dijual secara terkawal mengikut keperluan orang bukan Islam sahaja di Kelantan. Tidak ada lesen judi diluluskan di Kelantan.

Itulah pentingnya kenapa kita mesti menang. Hebatkan kuasa!” tulis Dato’ Dr Mohamed Fadzli menerusi laman sosialnya, pada 1 Mei lalu.

Nah! Kuasa wajar difahami sebagai amanah yang dipikul justeru kehadiran orang mukmin dalam politik adalah keperluan jangka panjang bagi kelangsungan peradaban.

Tanpa mereka, kuasa akan terus menjadi alat dominasi.

Dengan mereka, kuasa berpotensi menjadi jambatan yang menghubungkan langit wahyu dengan bumi realiti dengan mengubah nilai menjadi dasar dan dasar menjadi kehidupan yang bererti. -HARAKAHDAILY 7/5/2026

- Advertisement -