Tafsiran 3R usah sewenang guna atas pihak tak sealiran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya mempersoalkan maksud sebenar istilah 3R berkait kaum, agama dan institusi diraja digunakan kerajaan dalam penguatkuasaan undang-undang, melibatkan Akta Hasutan.

- Advertisement -

Beliau berkata, Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamad Fadzil sebelum ini menyatakan bahawa Akta Hasutan 1948 hanya akan digunakan bagi kes membabitkan isu 3R, namun tidak wajar dikenakan terhadap pengkritik politik kerajaan.

Namun menurut Ustaz Ahmad, timbul persoalan mengenai takrif sebenar 3R di pihak kerajaan, sedangkan pada masa sama isu tersebut dikatakan dimanipulasi untuk memerangkap pihak yang tidak sealiran.

“Bercakap tentang mempertahankan Melayu-Islam juga kadang-kadang boleh dianggap sebagai rasis. Justeru, apa definisi 3R itu dan sejauh mana kayu ukur terhadapnya?” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambah beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, tindakan kerajaan terhadap individu atau pihak mengkritik juga menimbulkan persoalan sama ada wujud unsur intimidasi terhadap suara berbeza.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Menteri Komunikasi mahu terus mengelirukan rakyat selepas pelbagai tindakan diambil terhadap mereka yang menyuarakan pandangan kritikal terhadap kerajaan.

Katanya, tidak perlu dibentangkan angka bagi membuktikan perkara tersebut kerana terdapat pihak dalam kalangan masyarakat awam dan pembangkang yang dilaporkan ‘didiamkan’ akaun media sosial mereka.

Menurutnya lagi, keadaan lebih membimbangkan apabila melibatkan kelompok ahli akademik serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti BERSIH dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang turut dikatakan menjadi mangsa intimidasi.

“Mereka disabitkan dengan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan hanya kerana mengkritik pihak kerajaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada setiap individu atau organisasi yang memberikan pandangan berbeza dengan kerajaan akan terus dianggap sebagai musuh politik.

Beliau juga membangkitkan persoalan berhubung kenyataan Menteri Komunikasi mengenai keperluan ‘menjawab kritikan politik secara politik’, sedangkan menurutnya ramai pihak telah dikenakan tindakan sehingga menyekat kebebasan bersuara.

“Ini bukan kebebasan media yang dicanang suatu ketika dahulu. Bahkan, betapa hipokritnya kerajaan hari ini untuk bercakap tentang suatu kebebasan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata Akta Hasutan masih diperlukan bagi kes membabitkan kaum, agama dan institusi diraja (3R), namun mengakui tidak wajar digunakan terhadap pengkritik politik.

Jurucakap Kerajaan itu berkata, pendirian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahukan isu politik perlu dijawab secara politik, manakala pihak berkuasa masih boleh bertindak dalam kes menyentuh ketenteraman awam, perpaduan negara atau institusi raja-raja Melayu. – HARAKAHDAILY 6/5/2026

- Advertisement -