
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh melancarkan kempen ‘Masuk KL Awal’ dengan menawarkan ganjaran minuman kopi harga diskaun telah menerima reaksi balas daripada para pengguna media sosial.
Ramai yang mengkritik dan meninggalkan komen mempertikaikan, khususnya berkaitan kerelevanan masa dan realiti kehidupan harian rakyat kepada kempen yang mengajak bergerak masuk lebih awal ke tempat kerja itu.
Tinjauan ke ruangan komen mendapati antara kritikan utama adalah persoalan sama ada datang lebih awal benar-benar menyelesaikan masalah kesesakan yang telah menjadi fenomena umum di Ibu Negara tersebut.
Sebahagian netizen berpendapat, sekalipun jia kempen itu dilaksanakan, kesesakan hanya akan ‘beralih waktu’ bukan berkurang, kerana jumlah kenderaan tetap sama dan aliran trafik akhirnya akan kembali padat.
Selain itu, ramai turut membangkitkan realiti kehidupan berkeluarga yang sukar disesuaikan dengan cadangan tersebut, terutama bagi ibu bapa, di mana rutin menghantar anak ke sekolah atau ke pusat jagaan menjadi kekangan utama.
Ada yang menyatakan ia mustahil untuk keluar terlalu awal tanpa menjejaskan urusan keluarga, sekali gus menjadikan cadangan ini langsung tidak praktikal bagi golongan berkeluarga semata-mata untuk mendapat diskaun secawan kopi.
Isu waktu bangun juga menjadi perhatian di mana netizen menyifatkan cadangan masuk lebih awal secara tidak langsung memaksa pekerja bangun lebih awal daripada kebiasaan, sedangkan sebahagian besar sudah pun memulakan hari seawal Subuh.
Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang keseimbangan hidup, di mana faktor keletihan dijangka akan memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan diri, menjadikan tidak berbaloi untuk mengejar secawan kopi.
Dalam masa sama, timbul persoalan besar, jika masuk kerja lebih awal, adakah pekerja dibenarkan pulang lebih awal, sedangkan ramai netizen berpandangan bahawa tanpa fleksibiliti waktu pulang, cadangan ini hanya menambah beban.
Mereka berpandangan masa kepada pekerja tanpa memberi manfaat sebenar hanya akan menjadikannya sebagai satu usaha perubahan bersifat satu hala yang sebenarnya tidak adil.
Selain faktor masa, netizen turut menegaskan bahawa kos sara hidup tidak berubah walaupun waktu perjalanan diubah di mana perbelanjaan harian seperti minyak, tol, makan dan minuman tetap sama.
Malah bagi sesetengah individu, keluar lebih awal mungkin menambah kos seperti membeli sarapan di luar atau keperluan lain yang sebenarnya dapat diada atau disediakan daripada rumah dan untuk seisi keluarga.
Menariknya, berdasarkan komen tambahan yang diperhatikan, terdapat juga suara netizen yang melihat kempen ini dari sudut lebih kritikal dan mendalam.
Ada yang mempersoalkan sama ada pendekatan memberi ganjaran benar-benar menyelesaikan masalah asas seperti kesesakan trafik dan sistem pengangkutan awam, atau sekadar langkah sementara yang tidak menyentuh punca sebenar.
Selain itu, terdapat juga pandangan bahawa perubahan waktu masuk kerja secara besar-besaran mungkin menimbulkan kesan lain, termasuk gangguan terhadap rutin keluarga, waktu rehat serta keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.
Segelintir netizen turut menyatakan bahawa tidak semua sektor mempunyai fleksibiliti untuk menyesuaikan waktu bekerja, menjadikan cadangan tersebut kurang inklusif.
Dalam masa sama, ada juga yang melihat isu ini sebagai soal keutamaan dasar di mana mereka berpendapat usaha kerajaan seharusnya lebih tertumpu kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam.
Termasuk penyelesaian jangka panjang terhadap kesesakan, serta peningkatan kualiti hidup rakyat, berbanding memberi fokus kepada perubahan tingkah laku individu semata-mata.
Tambahan kepada itu, sebahagian netizen menegaskan bahawa tanpa penyelesaian menyeluruh seperti penambahan kapasiti pengangkutan awam, penyusunan semula waktu kerja secara fleksibel dan pengagihan pusat pekerjaan, kempen seperti ini berisiko dilihat sekadar bersifat sementara dan kosmetik.
Antara isu yang paling banyak dibangkitkan ialah kos sara hidup, khususnya harga minuman yang dianggap mahal di sesetengah premis, sekali gus mempersoalkan Menteri mahu mengatasi kesesakan atau mengadakan kempen komersial.
Ada pengguna menyindir harga minuman seperti americano yang boleh mencecah RM5 hingga RM7, dan mempersoalkan sama ada harga tersebut munasabah untuk kegunaan harian.
Bagi mereka, dalam konteks ekonomi semasa, perbelanjaan kecil seperti minuman harian turut dilihat memberi kesan kepada kewangan bulanan, terutamanya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Malah, terdapat juga perbandingan dibuat oleh netizen yang menyatakan bahawa dengan jumlah sama, mereka boleh mendapatkan minuman pada harga lebih murah di kedai biasa, termasuk memperoleh dua gelas minuman di sesetengah lokasi.
Tidak kurang juga yang berpendapat harga sekitar RM2 adalah lebih realistik dan sesuai dengan kemampuan majoriti rakyat, jika benar-benar Menteri mahu mempromosikan kopi berjenama itu.
Secara keseluruhannya, perbincangan ini memperlihatkan bahawa isu masa bukan sekadar soal masuk awal atau lewat, tetapi melibatkan keseimbangan hidup, keadilan waktu kerja, serta keberkesanan sebenar sesuatu dasar dalam menyelesaikan masalah rakyat secara holistik.
Tetapi pertikaian terbanyak adakah Menteri ketandusan idea dan langsung tidak memahami realiti kesesakan trafik di Kuala Lumpur, lalu semudah kempen masuk kerja awal dengan tawaran kopi diskaun yang mungkin Menteri berkepentingan ke atasnya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











