
TEHRAN: Iran masih belum memberikan respon rasmi terhadap cadangan terbaharu Amerika Syarikat, meskipun media AS mendakwa perjanjian muktamad untuk menamatkan perang di rantau Asia Barat kini semakin hampir dicapai.
Sumber memberitahu agensi berita Iran, Tasnim pada lewat Rabu bahawa walaupun media AS menggambarkan Tehran dan Washington hampir mencapai ‘perjanjian satu halaman’ bagi menamatkan konflik perang tersebut, hakikatnya Iran masih belum memberikan jawapan rasmi terhadap cadangan AS itu yang menurut Iran mengandungi ‘beberapa klausa yang tidak boleh diterima’.
“Ia juga adalah usaha Washington untuk menutup kegagalan langkah bermusuhan Donald Trump.
“Propaganda media AS hari ini sebenarnya bertujuan mewajarkan pengunduran Trump daripada tindakan bermusuhan terbaharunya.
Langkah Trump sejak awal lagi adalah satu kesilapan dan tidak sepatutnya berlaku,” tegas sumber tersebut.
Tambah kenyataan itu, tidak jelas berapa kali AS perlu ‘menghentam kepala ke dinding’ sebelum memahami realiti sebenar di lapangan.
“Apa yang pasti, pengalaman sudah cukup membuktikan bahawa bahasa ancaman dan kekerasan bukan sahaja gagal menundukkan Iran, malah hanya memburukkan keadaan buat rakyat AS serta sekutu mereka,” ujarnya.
Sumber itu turut menjelaskan bahawa selepas Iran mengemukakan cadangan yang disifatkan sebagai ‘munasabah dan logik’ dalam 14 klausa menerusi pengantara Pakistan, pihak AS kemudian menghantar cadangan balas sebelum melancarkan fasa baharu tindakan provokatif dan permusuhan.
“Iran ketika ini sedang menyemak semula responnya, namun sekali lagi AS mengambil pendekatan yang tidak bijak sehingga menyebabkan proses semakan itu tertangguh,” jelas sumber berkenaan.
Sumber itu juga menegaskan bahawa selepas pengunduran Trump, Iran kembali meneruskan proses penelitian terhadap perkara tersebut dan akan memaklumkan keputusan akhirnya kepada pihak pengantara sebaik mencapai kesimpulan. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











