
KUALA LUMPUR: PAS menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah agar orang Melayu dan umat Islam memperkukuhkan penyatuan bagi mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan umat serta menggugat perpaduan masyarakat.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gagasan penyatuan itu selaras dengan peringatan Allah SWT menerusi Surah Al-Anfal ayat 46 yang menuntut umat Islam supaya taat kepada Allah dan Rasul serta tidak berbantah-bantahan sehingga hilang kekuatan.
Menurut beliau, PAS sejak sekian lama konsisten menyeru penyatuan ummah berdasarkan formula yang telah digariskan oleh Allah SWT dengan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sumber rujukan utama apabila berlaku perselisihan pandangan.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 59 yang menyeru umat Islam supaya taat kepada Allah, Rasul dan Ulil Amri serta mengembalikan segala perselisihan kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
“PAS melihat terlalu banyak parti-parti Melayu tidak membina kekuatan dan ia hanya akan memecahkan kesatuan orang Melayu. Adalah lebih baik suatu gabungan besar diwujudkan dengan meletakkan keutamaan kepada perjuangan mendaulatkan bangsa dan agama Islam,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.
Tuan Ibrahim berkata demikian susulan titah Sultan Selangor yang menzahirkan harapan agar rakyat, khususnya generasi baharu, dapat menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan rakyat Malaysia.
Baginda dalam titah sempena Hari Raya Aidiladha 2026 itu menyeru rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya terus bersatu-padu serta tidak berpecah dan bertelingkah sesama sendiri.
Baginda bertitah, terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli-ahli politik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Titah Sultan Sharafuddin juga, perkara tersebut turut membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.
Baginda juga menegaskan dalam titah itu bahawa perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan kaum lain.
Sebaliknya titah Sultan Selangor, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyat saling hormat menghormati.
Kaji semula sistem politik negara
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang turut berpandangan sistem politik negara berasaskan kaedah ‘First-Past-The-Post’ (FPTP) perlu dikaji semula supaya lebih adil kepada parti-parti politik.
Katanya, sudah sampai masanya sistem berasaskan peratusan sokongan atau ‘Proportional Representation’ (PR) atau Perwakilan Berkadar diberi perhatian dan dikaji pelaksanaannya.
Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatah Nasional (PN), sistem PR meletakkan jumlah undi yang diperoleh parti sebagai asas kepada jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat.
“Dalam sistem PR, jumlah kerusi yang diperoleh parti akan lebih hampir dengan peratus undi yang diterima. Contohnya, Parti A mendapat 40 peratus undi maka lebih kurang 40 peratus kerusi, manakala Parti B mendapat 30 peratus undi maka lebih kurang 30 peratus kerusi,” katanya.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, sistem itu berbeza dengan FPTP digunakan ketika ini kerana calon yang memperoleh undi paling tinggi di sesuatu kawasan akan terus menang walaupun tidak mencapai majoriti mutlak.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, keadaan itu membolehkan sesebuah parti memenangi banyak kerusi walaupun jumlah undi popular yang diterima lebih rendah.
Tambah beliau lagi, sistem PR juga dilihat mampu mengelakkan persempadanan yang tidak adil selain mengurangkan beban tugas wakil rakyat tidak seimbang.
Sultan Selangor dalam perutusan itu turut mengingatkan bahawa sistem pentadbiran Islam yang pernah menjadi dasar politik sejagat telah mewujudkan keadilan kepada semua kaum di negara ini malah di seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











