Jangan belit-belit, buktikan ‘go solo’ atau ‘sayang’ DAP?

Umno digesa keluar dari Kerajaan Perpaduan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) dinasihatkan agar tidak mengambil sikap berbelit-belit yang seolah-olah mahu menipu rakyat.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, sikap mereka khususnya terhadap DAP juga nampaknya tidak konsisten, sekejap tunduk dan kadang kala pula bertegas.

- Advertisement -

Kata beliau, sebagai contohnya pemimpin Umno di Selangor dan Negeri Sembilan, masih dilihat ‘lunak’, malah masih ‘tunduk’ serta membisukan diri dengan sikap ekstrem ditunjukkan DAP.

“Berbeza dengan Umno Kedah, mereka bertekad takkan biarkan kalau ada pihak dalam Kerajaan Persekutuan (terutama) DAP kalau mahu bercakap besar.

“Apatah lagi kalau DAP mempertikai asas-asas negara, kerana menganggap dah punya kuasa politik hari ini,” kata beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno Kedah, sebelum ini.

Begitu jugak maklum beliau, tindakan Umno Johor yang mencanang kononnya mahu bergerak bersendirian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.

Sementara di Selangor pula ujarnya, pemimpin Umno membisu apabila DAP mempertikai titah Sultan Selangor yang tidak mahu ladang babi diwujudkan di negeri itu.

Malah seorang demi seorang pemuka DAP katanya, dilihat cuba ‘menunggang’ hak-hak dalam Perlembagaan Negara, bagi mewajarkan tindakan biadab mereka terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.

“Di Negeri Sembilan, 14 ADUN BN dari Umno, tunduk pada kehendak DAP untuk tidak jadi tumbangkan Menteri Besar yang menjadi proksi DAP.

“Sikap yang ditunjukkan oleh Umno ini menunjukkan mereka seolah-olah tidak sanggup berpisah dengan DAP. Apakah semangat ‘UmDap Mantap’ masih menjiwai mereka?”

“Kalau rasa nak ‘go solo’ dalam pilihan raya, keluar saja dari Kerajaan Perpaduan yang didominasi DAP. Tak perlu belit-belit,” bidas beliau lagi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah.

Sementara di peringkat akar umbi, kata Zulkifli, ahli-ahli dan penyokong Umno sudah selesa dan mesra dengan ahli-ahli PAS, selepas pernah bersama dalam semangat Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

“Maka tunggu apa lagi, wahai para pemimpin Umno? Marilah ikut jejak ahli-ahli di akar umbi. Ada kalanya juga para pemimpin atasan Umno kena ikut teladan ahli bawahan kalau mahu menikmati rasa perpaduan ummah,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 22/5/2026

- Advertisement -