
KUALA LUMPUR: Masa depan politik Melayu bergantung kepada kesedaran rakyat memahami peranan sebenar politik untuk mempertahankan institusi penting negara, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nazir Helmi Azhar.
Menurut beliau, ‘Himpunan Daulat Tuanku’ anjuran Pemuda PAS bukan sekadar program politik kepartian, sebaliknya membawa mesej lebih besar berkaitan masa depan orang Melayu dan institusi raja Melayu.
“Kalau nak kata himpunan ini berkait tentang masa depan politik Melayu, ya memang betul. Orang Melayu kena sedar turun himpunan ini adalah untuk memastikan kita tahu peranan kita dalam politik,” katanya dalam Podcast HarakahDaily.
Menurut beliau, terdapat pihak cuba membentuk persepsi bahawa politik hanya berkaitan pilihan raya semata-mata, sedangkan pelbagai agenda besar negara sebenarnya digerakkan melalui kuasa politik.
Katanya, politik turut menentukan kedudukan institusi raja, dasar negara dan hala tuju masyarakat, justeru orang Melayu tidak boleh lagi mengambil sikap sambil lewa.
Nazir yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat turut mempersoalkan sikap sesetengah parti Melayu yang dikatakan terlalu takut untuk bersuara apabila melibatkan isu berkaitan DAP.
“Kalau anda terlalu takut dengan DAP, tak apa biar kami duduk depan. Datanglah duduk belakang pun tak apa,” katanya menyeru keberanian menghadapi agenda politik DAP.
Beliau berkata, orang Melayu selama ini mempunyai tahap toleransi tinggi hasil didikan adat dan agama, namun perkara berkaitan institusi Melayu dan raja tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, himpunan itu menghantar isyarat jelas bahawa masih ada rakyat yang bersedia mempertahankan Institusi Raja Melayu daripada sebarang tindakan yang dianggap mencabar kewibawaannya.
Beliau juga mengingatkan rakyat supaya lebih berhati-hati memilih pemimpin pada pilihan raya akan datang dengan melihat krisis berlaku hari ini membuktikan pentingnya pemimpin yang mempunyai rekod bersih dan tidak pernah mengkhianati rakyat.
“Kita perlukan pemimpin yang ada rekod baik, tidak ada sejarah rasuah dan tidak pernah mengkhianati rakyat serta rakan dalam parti,” tegasnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa ketika Perikatan Nasional (ON) mencatat kemenangan besar dengan PAS menguasai 43 kerusi Parlimen, hampir 60 peratus rakyat yang layak mengundi tidak keluar mengundi.
“Bayangkan kalau semua keluar mengundi. Ini mesej jelas bahawa rakyat kena sedar pentingnya memilih pemimpin yang betul,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











