Perlombongan haram ancam nyawa, lestari alam

Penguatkuasaan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh agensi penguatkuasa

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua lelaki tempatan ketika menjalankan aktiviti perlombongan emas di kawasan Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah, Jeli.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejadian tragis itu membuktikan aktiviti perlombongan haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengundang risiko besar terhadap nyawa, keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

- Advertisement -

Menurutnya, dua mangsa berusia 32 dan 38 tahun itu dilaporkan maut dalam kejadian berkenaan sebagaimana dimaklumkan pihak polis.

“Kerajaan negeri ingin menegaskan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan haram sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh agensi penguatkuasa berkaitan.

“Ia termasuk di kawasan yang dikenal pasti sekitar Jeli dan kawasan pedalaman lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi pemantauan, risikan dan tindakan lapangan terus dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan pencerobohan hasil bumi dapat dibendung secara lebih tegas dan berkesan.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengambilan hasil bumi tanpa lesen dan kelulusan sah boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Mineral Negeri Kelantan serta undang-undang berkaitan tanpa kompromi.

“Semua pihak diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi dan syarat keselamatan yang ditetapkan serta mendapatkan permit dan kelulusan secara sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan.

“Keghairahan mencari keuntungan tidak boleh mengatasi soal keselamatan nyawa dan pematuhan undang-undang,” ujarnya lagi.

Terdahulu media melaporkan dua lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tebing tanah setinggi dua meter dipercayai berlaku ketika aktiviti melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, seorang lagi mangsa dilaporkan terselamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian mangsa tertimbus tanah.

Menurut beliau, operasi menyelamat berdepan kesukaran apabila pasukan bomba tidak dapat memasuki kawasan ladang menggunakan jentera kerana laluan sempit.

Operasi pencarian dimulakan pada jam 9.20 malam dan berakhir pada jam 11.40 malam.

Mangsa pertama berjaya ditemukan pada jam 9.25 malam manakala mangsa kedua ditemui pada jam 11.18 malam.

Kedua-dua mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 22/5/2026

- Advertisement -