Kerajaan Perlis disaran tumpu tingkat produktiviti

- Advertisement -

KANGAR: Prestasi pertumbuhan ekonomi Perlis menunjukkan peningkatan yang positif dan kukuh, demikian kata Ustaz Muhammad Azmir Azizan (PN-Santan).

- Advertisement -

Kata beliau lagi, kestabilan harga, pasaran buruh yang baik serta sumbangan tinggi sektor perkhidmatan mencerminkan ketahanan struktur ekonomi negeri.

“Prestasi positif pertumbuhan ekonomi negeri ini boleh dirujuk kepada pembentangan Bajet Perlis 2026 oleh mantan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, pada 9 Disember tahun lalu.

“Justeru untuk tempoh dua tahun akan datang, Kerajaan Negeri perlu memberikan tumpuan kepada peningkatan produktiviti sektor utama, pengukuhan infrastruktur.

“Serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong aspirasi pembangunan mampan yang digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040,” kata beliau.

Tegasnya lagi, semua pihak sedia maklum, krisis Asia Barat yang melibatkan Iran dan Amerika Syarikat dan sekutunya telah memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan negeri.

Krisis tersebut katanya, telah mengakibatkan peningkatan kos bahan api, logistik serta insurans dan pastinya akan mempengaruhi rantaian bekalan dan harga pasaran.

Oleh itu tegas beliau, Kerajaan Negeri perlu mengadakan perancangan yang strategik bagi memberi penumpuan kepada tiga aspek tersebut khususnya dalam tempoh dua tahun akan datang.

Justeru beliau mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri agar melaksana Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Perlis bagi membantu mereka yang terkesan.

Cadangan itu katanya, adalah langkah proaktif bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, menyokong kelangsungan sektor mikro kecil dan sederhana serta membantu aktiviti pengeluaran padi.

“Kerajaan Negeri juga perlu memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi strategik untuk memastikan Perlis terus berada di landasan pertumbuhan yang stabil dan mampan.

“Usaha ini penting bagi memastikan rakyat menikmati banyak peluang
pekerjaan, peningkatan pendapatan serta akses kepada peluang ekonomi baharu  yang lebih luas,” tambahnya lagi.

Perkara tersebut disentuh beliau, ketika mengambil bahagian pada ucapan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini semalam.

Seperkara lagi, kata Azmir, pengoperasian Pelabuhan Darat Perlis (PIP) mampu menjadi titik perubahan besar dalam landskap ekonomi negeri terutama bagi pengendalian kontena, perkhidmatan pergudangan dan sistem pelepasan barangan secara ‘Inland Clearance’.

Perkara itu jelasnya, boleh menjadi faktor penarik kepada pelabur ke negeri ini khususnya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di mana mampu menjana sehingga RM2.3 billion kepada KDNK menjelang 2030.

Dalam masa yang sama katanya, ia mampu mewujudkan 3,920 peluang pekerjaan dengan pertumbuhan pelaburan swasta RM1.2 billion dalam tempoh empat tahun lagi.

“Namun persoalannya, adakah Kerajaan Negeri meletakkan kuota tertentu, contohnya 80 peratus peluang pekerjaan kepada anak-anak Perlis?

“Sejauh mana perancangan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan pekerja mahir di kalangan anak–anak Perlis untuk mengisi keperluan industri tersebut?

“Saya juga mahu mencadangkan agar perbincangan diadakan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berkenaan manfaat, kebaikan dan nilai tambah daripada pengoperasian PIP.

“Termasuk juga cukai tanah yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan, contohnya ‘Wang Ihsan’  sebanyak RM100 juta untuk pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Beliau juga mengharapkan agar Kerajaan Negeri bersedia mewujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri bagi melengkapkan ekosistem TVET negara dan sebagai jambatan penghubung dengan industri 
melahirkan pekerja berkemahiran. – HARAKAHDAILY 5/6/2026

- Advertisement -