Kemajuan bukan hanya pelancongan, bangunan fizikal

- Advertisement -

KANGAR: Usaha untuk terus memperkasakan sektor pelancongan sebagai pemangkin ekonomi negeri disambut baik, namun diharapkan tidak tersasar daripada identiti dan nilai yang menjadi kebanggaan rakyat Perlis.

- Advertisement -

Wan Badariah Wan Saad (PN-Mata Ayer) berkata, selain itu pendekatan pelancongan yang dilaksanakan mestilah benar-benar memberi pulangan ekonomi kepada rakyat tempatan.

Peringat beliau, kerajaan negeri jangan hanya bergantung kepada hiburan berskala besar yang memerlukan kos tinggi, tetapi kesannya bersifat sementara.

“Kita tidak menolak aktiviti rekreasi dan hiburan yang sesuai, tetapi rakyat juga perlukan program berbentuk ilmiah, kekeluargaan dan pembentukan sahsiah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini semalam.

Katanya lagi, Perlis mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak dimiliki negeri lain seperti keindahan alam semulajadi, biodiversiti unik, geologi, warisan budaya dan produk desa.

Termasuk juga menurutnya, nilai masyarakat yang masih terpelihara merupakan aset perlu diketengahkan.

Wan Badariah juga mencadangkan adalah lebih baik Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pelancongan berasaskan biodiversiti dan geopark, agro-pelancongan, pelancongan budaya dan warisan dan pelancongan keluarga dan pendidikan serta pelancongan agama.

Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan agar aspek kebersihan kawasan pelancongan perlu dijadikan agenda utama kerana kebersihan merupakan cerminan imej negeri dan tahap ketamadunan masyarakat.

Menyentuh berkenaan masalah sosial yang menjadi ancaman terhadap masa depan generasi akan datang, beliau menegaskan agar pembinaan akhlak, ilmu dan jati diri dalam masyarakat, khususnya generasi muda diberi penekanan serius.

Menurutnya, kemajuan fizikal tidak akan membawa makna sekiranya generasi muda berhadapan krisis akhlak dan jati diri di mana pada hari masyarakat berdepan pelbagai cabaran masalah sosial.

“Penyalahgunaan dadah, ketagihan vape, perjudian dalam talian, budaya hedonisme dan pengaruh media sosial yang tidak terkawal. Malah kedudukan Perlis sebagai negeri sempadan menjadikan cabaran ini lebih besar kerana dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Nilai rampasan dadah dilaporkan mencecah lebih RM149 juta. Manakala pelbagai sindiket masih menggunakan laluan darat dan laut di kawasan sempadan untuk aktiviti penyeludupan,” ulas beliau.

Berikutan itu katanya, sebagai seorang wanita dan ibu, beliau melihat isu tersebut dengan penuh kebimbangan kerana mangsanya bukan sahaja golongan muda sebaliknya seluruh institusi keluarga.

Oleh itu tegasnya, Kerajaan Negeri perlu meneliti sejauh manakah keberkesanan program pencegahan yang dilaksanakan, adakah pendekatan digunakan benar-benar menyentuh hati dan kehidupan golongan sasaran.

“Saya berpandangan usaha menangani gejala sosial perlu bermula dengan pembinaan jiwa dan akhlak. Pendidikan agama, pembangunan sahsiah dan pembentukan jati diri perlu diberikan perhatian yang lebih serius.

“Kerajaan Negeri perlu memperkasa golongan wanita dan remaja perempuan melalui latihan kemahiran, kepimpinan, keusahawanan dan pembangunan potensi diri agar mereka menjadi wanita yang berilmu, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Wan Badariah juga mensyorkan agar masjid dan surau diimarahkan sebagai pusat pembangunan belia serta menganjurkan lebih banyak program mentor remaja di peringkat komuniti.

Dalam masa yang sama, beliau juga mahu semua pihak memahami usaha membendung gejala sosial bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi turut dipikul oleh ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat dan seluruh anggota masyarakat.

Selain itu tegasnya lagi, keluarga merupakan benteng pertama dalam membentuk masyarakat yang sejahtera kerana apabila keluarga kukuh, masyarakat akan menjadi kuat.

Namun kata beliau, apabila keluarga rapuh, pelbagai masalah sosial akan muncul, termasuk konflik rumah tangga, masalah komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak serta cabaran mendidik generasi dalam era digital.

“Justeru, saya mencadangkan supaya Kerajaan negeri memperluaskan program Pendidikan kekeluargaan dan keibubapaan secara lebih menyeluruh. Institusi masjid, surau, sekolah dan pusat komuniti perlu digerakkan sebagai pusat Pembangunan keluarga,” tambah beliau.

Di samping itu menurutnya, perkhidmatan kaunseling keluarga dan sokongan psikososial perlu diperkasakan agar keluarga yang berhadapan masalah mendapat bantuan lebih awal sebelum masalah menjadi lebih serius.

Kerajaan Negeri juga sarannya agar memperkasakan peranan wanita sebagai pembina generasi dengan meningkatkan program Pembangunan Wanita bagi melahirkan golongan berilmu, berkemahiran dan berdaya tahan.

“Saya percaya kemajuan sebenar negeri bukan hanya diukur melalui jumlah pelancong atau pembangunan fizikal semata-mata.

“Sebaliknya kemajuan yang sebenar ialah apabila negeri ini memiliki rakyat yang berakhlak, keluarga yang harmoni, wanita yang diperkasakan dan generasi muda yang mempunyai jati diri yang kukuh,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 5/6/2026

- Advertisement -