
KOTA BHARU: Pembinaan bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana dijangka memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatan di Kelantan, selain menyokong agenda pelancongan kesihatan negeri serta mengurangkan kebergantungan rakyat mendapatkan rawatan di luar Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembangunan itu menjadi langkah penting bagi meningkatkan akses rakyat kepada rawatan yang lebih cepat, menyeluruh dan berkualiti khususnya dalam bidang kepakaran serta rawatan kompleks.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik pelaburan sektor kesihatan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat dari sudut perkhidmatan rawatan, malah merangsang ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh ekosistem kesihatan di Pantai Timur.
“Dengan kapasiti yang lebih besar serta kemudahan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan, pembangunan ini dijangka memperkukuh lagi peranan Hospital Pakar KPJ Perdana sebagai antara institusi kesihatan swasta utama di negeri ini.
“Kerajaan Negeri juga melihat pembangunan ini selari dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan kesihatan sebagai antara sektor pertumbuhan baharu Kelantan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pembangunan Bangunan Baharu Hospital Pakar KPJ Perdana, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Bakar berkata pembangunan tersebut bukan sekadar penambahan kapasiti fizikal, sebaliknya pelaburan jangka panjang bagi memperkukuh kesiapsiagaan sistem penjagaan kesihatan di Kelantan dan Pantai Timur.
“Melalui pembangunan baharu itu, kapasiti hospital dijangka meningkat kepada lebih 300 katil menjelang 2030 dengan penyediaan lebih 80 klinik pakar, dewan bedah tambahan, unit rawatan rapi, perkhidmatan dialisis, fasiliti day care serta unit onkologi lengkap dengan kemudahan radioterapi,” jelasnya.
Tambah beliau, kemudahan tersebut turut dilihat mampu menyokong potensi Kelantan sebagai destinasi rawatan kesihatan serantau susulan pembukaan laluan penerbangan terus Jakarta–Kota Bharu serta memperkukuh jaringan perkhidmatan di bawah KPJ Health System.
“Kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pemain industri kesihatan penting bagi memastikan pembangunan sektor kesihatan terus mampan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2026











