
WASHINGTON: Bekas Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Matthews mendedahkan bahawa wartawan CNN, Kaitlan Collins, merupakan satu-satunya wartawan yang paling ditakuti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Kayleigh McEnany ketika beliau bertugas dalam pentadbiran Trump dari April 2020 sehingga January 2021.
Pendedahan itu dibuat Matthews ketika mengulas serangan lisan terbaharu Trump terhadap Collins dalam satu sesi bersama media di Pejabat Oval pada Rabu, lapor CNN.
Matthews menyifatkan tindakan Trump itu sebagai ‘menjijikkan’ dan mendedahkan bahawa Trump sering menyerang wartawan wanita secara peribadi apabila berdepan soalan yang sukar dijawabnya dengan jujur.
Insiden tersebut berlaku ketika Trump sedang menjawab soalan mengenai keputusan untuk menggugurkan dana Anti-Pensenjataan yang ditubuhkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika selepas beliau menyelesaikan saman bernilai AS$10 bilion yang difailkannya terhadap Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) negara itu.
Pemangku Peguam Negara, Todd Blanche, dilaporkan memberitahu pada perbicaraan Selasa bahawa jabatan itu ‘tidak meneruskan’ dana berkenaan.
“Jadi, saya sukakannya. Saya fikir ia sangat penting,” kata Trump mengenai dana tersebut sebelum mengulangi dakwaannya bahawa penggunaan sistem perundangan terhadap dirinya dan penyokongnya adalah ‘palsu dan korup’.
Bagaimanapun, Trump kemudian menukar fokus ucapannya dengan menyasarkan Collins yang berada beberapa meter daripadanya.
Trump menyifatkan Collins sebagai ‘wanita muda yang cantik’ tetapi mendakwa wartawan itu mempunyai ‘kebencian di matanya’.
Beliau turut mendakwa Collins membencinya kerana dasar-dasar pentadbirannya.
Dalam program NewsNight pada malam yang sama, Matthews mempertahankan Collins dan menjelaskan mengapa wartawan CNN itu sering menjadi sasaran Trump.
“Saya ingin katakan bahawa semasa saya bekerja sebagai timbalan setiausaha akhbar dalam pentadbiran Trump yang pertama, Kaitlan Collins adalah satu-satunya wartawan yang paling menakutkan Kayleigh McEnany dan Presiden Trump,” kata Matthews.
Menurut Matthews lagi, Collins merupakan seorang wartawan yang sangat teliti, tegas dan sentiasa bersedia dengan soalan-soalan yang sukar, menyebabkan beliau sering menjadi individu yang paling dibimbangi dalam sesi sidang media Rumah Putih.
Sehubungan itu, kenyataan Matthews tersebut sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai layanan terhadap wartawan wanita dalam arena politik Amerika Syarikat, khususnya apabila mereka mengemukakan soalan yang mencabar pemimpin negara. – HARAKAHDAILY 4/6/2026











