EPIC rai pengamal media menerusi malam apresiasi

Muhtar Suhaili
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: EPIC Berhad menganjurkan Malam Apresiasi Media 2026 ‘EPIC Press & Petals’ sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang menjadi rakan strategik dalam menyampaikan maklumat serta perkembangan semasa syarikat kepada masyarakat.

- Advertisement -

Majlis bertemakan “Garden-Inspired Elegance” yang berlangsung di Primula Beach Hotel itu menghimpunkan kira-kira 100 pengamal media daripada agensi media cetak, elektronik dan digital di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, media memainkan peranan penting dalam memperkasakan penyampaian maklumat berkaitan pembangunan industri dan ekonomi negeri.

“Kami amat menghargai profesionalisme rakan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, beretika dan berkredibiliti. Liputan terhadap pencapaian perniagaan serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah memperkukuh reputasi EPIC Berhad.

“Liputan media juga malah membantu syarikat terus memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham yang mewakili Menteri Besar Terengganu; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Pada majlis itu, beliau turut berkongsi pencapaian EPIC Berhad yang merekodkan hasil perolehan tertinggi dalam sejarah syarikat iaitu RM409.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Menurutnya, pencapaian itu meningkat RM5.6 juta berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan positif syarikat sejak 2022.

Dalam pada itu, EPIC Berhad sedang memperkukuh beberapa projek strategik termasuk peluasan Pelabuhan Kemaman menerusi pembangunan fasiliti dermaga tambahan serta kerja penambakan laut bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kargo.

Katanya, kapasiti pengendalian kargo dijangka meningkat secara berperingkat daripada empat juta tan metrik setahun kepada 12 juta tan metrik sebelum mencapai sasaran 30 juta tan metrik menjelang 2030.

Selain itu, projek laluan pemisah East Coast Rail Link (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman turut menjadi antara komponen penting dalam menyokong pembangunan pelabuhan berkenaan.

EPIC Berhad juga meneruskan usaha menaik taraf kemudahan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) dan Kuala Terengganu Support Base (KTSB) bagi meningkatkan kecekapan operasi dan perkhidmatan logistik industri minyak dan gas.

Pada akhir majlis, agensi media yang hadir menerima plak dan sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat serta perkembangan syarikat kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 26/5/2026

Penganjur EPIC Berhad bergambar bersama pengamal media pada Malam Apresiasi Media 2026

- Advertisement -