RM337,006 dikumpul bantu mangsa kebakaran Kg Kijang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak RM337,006.25 berjaya dikumpulkan bagi membantu 27 keluarga yang terjejas dalam kejadian kebakaran di Kampung Gok Kapur dalam DUN Kijang baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, seramai 25 keluarga menerima RM12,840.29 setiap satu, manakala dua lagi keluarga masing-masing menerima RM8,000 kerana hanya mengalami kebakaran kecil.

- Advertisement -

ADUN Kijang, Dato’ Dr Izani Husin berkata, sumbangan itu diperoleh daripada pelbagai agensi kerajaan negeri, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang tampil menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah, sumbangan datang daripada pelbagai pihak. Ada daripada agensi, syarikat swasta, NGO dan juga individu. Ada penyumbang yang kita kenal dan ada juga yang memilih untuk tidak dikenali.

“Kita bersyukur kerana rakyat begitu prihatin. Walaupun ada yang berada jauh, mereka tetap menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini kesemua 27 keluarga mangsa kebakaran telah menerima bantuan awal termasuk dua keluarga yang mengalami kebakaran ringan.

Maklum Dr Izani, bantuan tersebut disalurkan melalui pejabat Menteri Besar, pelbagai agensi kerajaan, masjid dan pertubuhan bukan kerajaan.

Menurutnya, mangsa yang kehilangan kediaman turut dibantu dengan penyediaan rumah sewa sementara.

“Alhamdulillah, Pusat Khidmat DUN membantu menanggung kos sewa rumah selama tiga bulan, manakala pihak masjid turut membantu menampung kos sewa selama dua bulan lagi bagi memastikan mangsa mempunyai tempat tinggal sementara dengan kadar RM500 sebulan,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan mangsa kini kembali bekerja seperti biasa dan bantuan disalurkan diharap dapat membantu mereka menggantikan barangan keperluan yang musnah dalam kebakaran.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan terus menyantuni golongan yang memerlukan khususnya mangsa bencana bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mampu menyediakan rumah percuma kepada semua mangsa kebakaran memandangkan terlalu ramai masyarakat yang memerlukan kediaman.

Tambahnya, permohonan rumah dhuafat juga perlu memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum diluluskan.

“Bagaimanapun kita boleh membantu memudahkan urusan pembelian rumah di Kampung Badang sekiranya mereka berminat.

“Ada rumah yang berharga RM130,000, namun rumah berharga RM45,000 dan RM80,000 telah habis dijual,” ujarnya lagi.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata sebanyak 57 rumah dalam DUN Kijang mengalami kebakaran sepanjang dua penggal beliau menjadi ADUN.

Katanya, setiap kejadian itu merupakan ujian daripada Allah dan menjadi tanggungjawabnya untuk mencari kaedah terbaik membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. – HARAKAHDAILY 9/7/2026

- Advertisement -