
KOTA BHARU: Cadangan bagi mewujudkan skim bantuan khas kepada golongan warga emas yang tidak pernah berkahwin dan hidup bersendirian akan diangkat kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.
Pengarah Pusat Khidmat DUN Kota Lama, Dato’ Zamri Ismail berkata, ketika ini terdapat ramai warga emas yang tidak pernah berkahwin, tidak mempunyai zuriat sendiri dan menjalani kehidupan bersendirian tanpa tempat bergantung.
Menurutnya, golongan berkenaan bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Melayu, malah turut melibatkan kaum Cina, India dan Siam.
“Saya akan cadang kepada kerajaan negeri agar skim ini diwujudkan, tidak kiralah di bawah nama apa sekalipun demi membantu golongan ini supaya mereka tidak terabai,” katanya.
Beliau memaklumkan demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada armalah masyarakat Cina dan India di Pusat Khidmat Masyarakat DHPP, Jalan Kebun Sultan, di sini kelmarin.
“Kita angkat di peringkat DUN atau peringkat kawasan terlebih dahulu sebelum dibawa kepada peringkat kerajaan negeri,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Tambah beliau, kerajaan negeri mungkin telah menyalurkan bantuan kepada golongan terbabit menerusi skim-skim tertentu, namun belum ada bantuan khusus yang diwujudkan bagi kelompok berkenaan.
Menurutnya, program seumpama itu akan dipergiatkan lagi bersama masyarakat Cina, India, Siam dan kaum-kaum lain, bukan sekadar menyalurkan sumbangan, sebaliknya sebagai usaha meraikan serta mendekati mereka.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Zamri berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada skim kebajikan Kerajaan Kelantan yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban penerima, khususnya dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.
“Walaupun keadaan ekonomi hari ini begitu dirasai dengan harga barang yang tidak sama seperti dahulu dan semuanya meningkat, ia memerlukan kebijaksanaan para armalah dalam mengurus perbelanjaan keluarga.
“Kita juga perlu mendidik anak-anak supaya tidak boros berbelanja dan mengelakkan pembelian barangan yang tidak berfaedah,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan kerajaan negeri sentiasa berlaku adil dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.
Sementara itu, Penyelia DUN Kota Lama, Ir Nor Shakiman berkata, pihak DUN Kota Lama sentiasa memberi perhatian kepada semua rakyat berdasarkan kelayakan dan keperluan masing-masing.
“Kita akan beri apa yang sepatutnya kita beri kepada rakyat berdasarkan kelayakan dan keperluan,” maklum beliau.
Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan pelbagai skim kebajikan kepada rakyat bermula daripada kelahiran sehingga meninggal dunia, antaranya Skim Cakna Aulad, Skim Gerbang Azziwaj, sumbangan pendidikan, bantuan penyakit kronik dan kifalah.
“Bagi bantuan penyakit kronik, pihak kami akan turun padang menziarahi pesakit di rumah tanpa mengira kaum, di samping mengenal pasti keperluan lain termasuk keadaan tempat tinggal yang memerlukan bantuan.
“Kita akan bantu walaupun tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang mereka hadapi,” katanya lagi.
Beliau berharap rakyat, khususnya penduduk DUN Kota Lama, terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam membina masyarakat yang harmoni serta saling mengenali antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 7/7/2026













