
KANGAR: Pentadbiran kerajaan yang mempunyai hala tuju merupakan asas kepada keyakinan rakyat untuk melihat ketelusan, jujur, berintegriti, cekap dan berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan.
Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) berkata, nilai ‘esprit de corps’ atau semangat setia kawan dalam pasukan sangatlah penting dan perlu diterapkan dalam pentadbiran.
Tegasnya, semangat kekitaan berpasukan atau setia kawan dalam kalangan ahli sesuatu kumpulan ini mendorong ahli-ahlinya untuk bekerjasama demi mencapai matlamat serta menjaga maruah kumpulan tersebut.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas komitmen berterusan dalam memperkukuhkan tatakelola pentadbiran negeri.
“Kaedah pentadbiran ‘whole of government’ ini diterjemahkan sebagai pendekatan menyeluruh kerajaan dalam konteks pentadbiran awam, termasuk kerjasama bersepadu merentas pelbagai kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan bagi memecahkan sistem kerja berasingan (silo).
“Di mana matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memudahkan urusan rakyat dan perniagaan,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Perlis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri itu menegaskan lagi, tadbir urus atau ‘good governance’ yang baik perlu dihayati oleh semua pihak termasuk pemimpin Kerajaan Negeri.
Tadbir urus baik itu jelasnya, dibina berdasarkan beberapa prinsip teras seperti akauntabiliti iaitu tanggungjawab di mana pemimpin dan institusi bertanggungjawab sepenuhnya kepada pihak berkepentingan serta rakyat atas keputusan dan tindakan yang diambil.
Seterusnya maklum beliau iaitu ketelusan atau ‘transparensi’ dan segala maklumat, keputusan dan proses pentadbiran dilaksanakan secara terbuka dan mudah diakses oleh umum.
“Selain itu, kedaulatan undang-undang agar pentadbiran dijalankan mengikut lunas perundangan yang saksama dan berkuat kuasa tanpa sebarang pilih kasih.
“Keterangkuman dan kesaksamaan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang yang sama rata tanpa mengira latar belakang.
“Begitu juga dengan keberkesanan dan kecekapan dalam pengurusan sumber negeri atau organisasi dilakukan secara optimum dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan semasa.
“Selanjutnya responsif iaitu institusi pentadbiran mampu bertindak balas terhadap kehendak dan keperluan rakyat dalam tempoh yang munasabah,” kata beliau
Sementara ujar beliau, berkaitan tatakelola ekonomi dan kewangan, terutama menghadapi krisis ekonomi yang mencabar, pengurusan kewangan mestilah diurus dengan cermat.
Di mana jelasnya, keutamaan mesti diberikan kepada program yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, anak muda, wanita dan warga emas.
Dalam masa yang sama katanya lagi, perlu memastikan setiap ringgit wang rakyat dalam bentuk cukai dibelanjakan secara berhemah dan memberi pulangan maksimum kepada rakyat.
“Pengurusan kos berhemah dan optimalisasi perbelanjaan mesti diamalkan bagi mengurangkan kos operasi dan perkhidmatan tanpa menjejaskan kualiti penyampaian kepada rakyat.
“Pendekatan ini biasanya melibatkan beberapa kaedah utama seperti Penyusunan Semula Keutamaan (Reprioritization) yang memberi fokus kepada projek dan perkhidmatan kritikal sahaja, sementara perbelanjaan tidak kritikal ditangguhkan atau dikurangkan,” tambahnya lagi.
Haziq juga menyuarakan pandangan bahawa Kecekapan Perolehan atau ‘Procurement Efficiency’ juga merupakan sistem perolehan kerajaan yang telus untuk mendapatkan harga terbaik melalui tender terbuka atau rundingan kompetitif.
Pada ucapan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis itu, beliau mencadangkan garis panduan mengurangkan kos elektrik, perjalanan, dan acara rasmi boleh dikuatkuasakan melalui Penjimatan Utiliti dan Operasi.
Beliau turut menyentuh berkenaan aset pelancongan yang boleh diketengahkan seperti Tasik Timah Tasoh, Kampung Wang Kelian, Gua Kelam, Bukit Chabang dan lain-lain lokasi berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi di seluruh Perlis.
Walau bagaimanapun tegasnya, pembangunan pelancongan itu tidak boleh mengorbankan kelestarian alam, merosakkan serta mengancam khazanah alam semula jadi kurniaan Allah SWT.
“Saya menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan agenda pembangunan lestari yang mengimbangkan antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
“Bencana banjir, tanah runtuh dan cuaca ekstrem yang berlaku pada tahun lepas perlu dijadikan pengajaran bahawa aspek kelestarian tidak boleh dipandang ringan,” kata beliau lagi.
Haziq Asyraf juga menyambut baik sekiranya Kerajaan Negeri berhasrat mahu jadikan Jalan Baharu Bukit Chabang menjadi destinasi pelancongan, namun kaedahnya perlulah dibuat dengan baik agar memberi impak terhadap ekonomi tempatan.
Dalam pada itu katanya lagi, setiap projek pembangunan perlu mengambil kira impak jangka panjang terhadap alam sekitar demi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Justeru semua pihak ujarnya, perlu bersedia dengan mempergiatkan program penanaman pokok, pemuliharaan kawasan tadahan air, pemeliharaan habitat haiwan liar dan pengurusan sisa pepejal.
Termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih efektif serta pendidikan kesedaran alam sekitar kepada masyarakat.
“Selain kesedaran terhadap kelestarian alam, kesihatan juga merupakan aset paling bernilai. Saya mengalu-alukan pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri dalam mempromosikan gaya hidup sihat melalui program sukan, rekreasi dan kesedaran kesihatan.
“Bersukan perlu dijadikan satu budaya masyarakat.Kita mahu melihat lebih ramai anak muda terlibat dalam sukan, bukan sahaja untuk melahirkan atlet tetapi juga untuk membentuk generasi yang sihat, berdisiplin dan bebas daripada gejala sosial,” tegasnya.
Berikutan itu menurutnya, kemudahan sukan di kawasan luar bandar perlu terus dipertingkatkan supaya rakyat mendapat akses yang sama terhadap aktiviti riadah dan rekreasi.
Selain itu beliau mengharapkan program berasaskan kesihatan diperbanyakkan seperti Fun Walk dan Hari Tanpa Gula yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.
“Di samping itu, usaha memperkukuhkan saringan kesihatan awal, pendidikan kesihatan dan penjagaan kesihatan mental perlu terus diberi perhatian bagi memastikan rakyat Perlis hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/6/2026











