Kerajaan Negeri giat naik taraf infrastruktur air

Hanafiah ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka Loji SATU sempena Hari Air Sedunia 2026 di Loji Rawatan Air Bukit Sah, Kemaman, Terengganu.
- Advertisement -

KEMAMAN: Kerajaan Terengganu terus memperhebat usaha menaik taraf infrastruktur air bagi memastikan bekalan air bersih yang stabil dan berkualiti dapat dinikmati rakyat di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, bekalan air yang cekap dan mencukupi menjadi keperluan utama dalam merancakkan sektor pelancongan, perindustrian dan pertanian.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) komited melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menaik taraf loji rawatan air dan menggantikan paip lama secara berperingkat.

“Tanpa sistem bekalan air yang stabil dan efisien, usaha menarik pelaburan strategik serta memperkukuh ekonomi negeri sukar dicapai.

“Justeru, kerajaan negeri terus menyalurkan pelaburan besar bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air berkualiti dan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka Loji SATU sempena Hari Air Sedunia 2026 di Loji Rawatan Air Bukit Sah, di sini, semalam.

Menurutnya, langkah penggantian paip lama penting bagi mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW) atau Air Tidak Hasil yang menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam meningkatkan kecekapan sistem bekalan air.

Katanya, operasi loji rawatan air membabitkan pelbagai proses teknikal termasuk rawatan, pemantauan mutu air dan penyelenggaraan sistem yang memerlukan komitmen tinggi petugas sektor air.

“Sebalik setiap bekalan air yang sampai ke rumah pengguna, terdapat proses teknikal yang kompleks melibatkan rawatan, pemantauan kualiti air, penyelenggaraan sistem serta operasi berterusan yang memerlukan kepakaran dan komitmen tinggi daripada seluruh warga kerja sektor air,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata program hari terbuka berkenaan mampu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai proses rawatan air mentah selain meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menghargai sumber air bersih.

“Program seperti ini juga mampu meningkatkan penghargaan rakyat terhadap usaha besar yang dilaksanakan operator air negeri dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi dan berkualiti,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -