
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff menyifatkan titah Sultan Selangor menyebut secara khusus nama dua individu memberi isyarat jelas terhadap tindakan serta kenyataan mereka sebelum ini.
Menurut beliau, saranan baginda supaya kedua-dua individu itu hadir ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati Rukun Negara menunjukkan kenyataan mereka dilihat melangkaui batas penghormatan terhadap Institusi Diraja.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew ke situ seminggu sekali demi menghayati prinsip Rukun Negara.
“Ini adalah isyarat jelas bahawa kenyataan yang dibuat oleh Wong Siew Ki dan Ronnie Liu berada di batas tidak hormat atau lebih mudah disebut sebagai biadab terhadap Institusi Diraja,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.
Dr Yusfarizal yang merupakan pengamal undang-undang berkata, titah baginda menyeru rakyat membaca, memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara dilihat membawa mesej tegas berkaitan penghormatan terhadap Institusi Diraja.
Terdahulu, Sultan Selangor menerusi kenyataan media bertarikh 19 Mei 2026 memaklumkan baginda berkenan berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang dibina berhampiran Tiang Bendera Negeri Selangor, di sini.
Baginda bertitah, pembinaan plak tersebut bertujuan mengimbas kembali sejarah lahirnya konsep Rukun Negara selepas tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 serta menjadi manifestasi ideologi kebangsaan dalam memperkukuh perpaduan rakyat.
Baginda yang membiayai sepenuhnya kos pembinaan plak tersebut turut berharap generasi muda dapat membaca dan menghayati prinsip asas Rukun Negara di mana menjadi teras utama perpaduan rakyat Malaysia.
Dalam titah sama, baginda menyeru semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen berkenaan.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan titah khusus kepada Wong dan Ronnie supaya hadir seminggu sekali bagi memahami dan menghayati Rukun Negara agar menjadi rakyat yang menghormati kedaulatan institusi raja serta menjaga adab dan kesusilaan.
Mengulas lanjut, Dr Yusfarizal berkata, titah tersebut disampaikan dalam nada penuh hikmah dan kebijaksanaan, namun mengandungi mesej yang tegas.
“Titah ini merupakan nasihat lunak selaras dengan kebijaksanaan Tuanku, namun mengandungi mesej tegas dan hampir berbentuk amaran kepada mereka yang gagal menghormati institusi diraja,” katanya.
Sebelum ini, Wong Siew Ki mencetuskan kontroversi ketika membahaskan titah Sultan Selangor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memohon kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor.
Perbahasan kepada perkara itu tetap dikemukakannya walaupun Sultan Sharafuddin dalam titah ucapan pada istiadat pembukaan Sidang DUN mengulangi penegasan tidak memperkenan penternakan babi di seluruh Selangor.
Ronnie pula baru-baru ini atas reaksi kepada titah tersebut telah menggesa para penternak babi membuat semakan kehakiman yang dilihat menyanggah perintah baginda. – HARAKAHDAILY 20/5/2026











