
KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkenalkan sistem E-Kutip bagi memudahkan orang ramai membuat permohonan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara dalam talian, sekali gus mempercepatkan proses urusan berkenaan.
Melalui sistem baharu itu, tempoh pemprosesan permohonan yang sebelum ini mengambil masa sehingga 14 hari kini dipendekkan kepada hanya tiga hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebelum ini pemohon perlu hadir ke pejabat MBKT serta mengisi borang secara manual, yang menyebabkan proses kelulusan mengambil masa lebih lama.
“Kaedah lama memerlukan sehingga dua minggu sebelum permohonan diluluskan dan kutipan dapat dilaksanakan.
“Dengan adanya sistem ini, pemohon atau tuan rumah hanya perlu membuat permohonan secara dalam talian dari rumah, pejabat atau mana-mana lokasi sahaja.
“Permohonan akan diproses dalam tempoh tiga hari dan selepas diluluskan, perkhidmatan kutipan sampah akan dilaksanakan dari rumah ke rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bilik Kawalan CCTV dan melancarkan sistem E-Kutip di Menara MBKT, Kuala Terengganu, semalam.
Menurut beliau, penambahbaikan itu mampu menjimatkan masa pemprosesan sehingga 11 hari berbanding kaedah sebelum ini.
Walaupun dilaksanakan secara berperingkat, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam memaklumkan semua penduduk dalam kawasan pentadbiran MBKT kini boleh mengemukakan permohonan melalui portal yang disediakan.
“Kita akan membuat hebahan dari semasa ke semasa mengenai alamat portal bagi memudahkan orang ramai melayari laman berkenaan dan membuat permohonan,” katanya.
Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan MBKT dalam mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan, selaras dengan keperluan semasa yang menuntut sistem lebih cepat dan efisien. – HARAKAHDAILY 4/6/2026











