
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru untuk membezakan antara kaum Cina dengan ideologi politik dibawa oleh DAP bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh merosakkan perpaduan negara.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Prof Dr Haim Hilman Abdullah dengan itu menegaskan bahawa menolak DAP tidak bermaksud menolak kaum Cina.
Kerana menurutnya, sumbangan masyarakat Cina terhadap pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemajuan negara sejak sebelum merdeka adalah sangat besar.
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap kelompok mendukung ideologi politik yang mencabar asas-asas dipersetujui dalam pembentukan negara.
Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Kedah itu turut menyatakan bahawa terdapat penglibatan sebahagian kecil orang Melayu dan India yang berkongsi pemikiran tersebut.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan, Malaysia mampu mengecapi keamanan sebenar tanpa DAP yang menurutnya menjadi punca perpecahan dan ketegangan dalam negara.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengajak rakyat merenung punca ketegangan kaum yang masih berlaku walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan sejak beberapa dekad lalu.
Dr Haim menjelaskan bahawa tindakan serta kenyataan pemimpin dan pendukung DAP sering kali dilihat melampaui batas sensitiviti masyarakat Melayu dalam beberapa isu krusial.
“Dalam beberapa isu, tindakan dan kenyataan pemimpin serta pendukung DAP sering dilihat melampaui batas sensitiviti masyarakat Melayu contohnya perbahasan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“(Juga) isu penggunaan bahasa kebangsaan, hak istimewa Bumiputera, pelaksanaan dasar berkaitan Islam atau peranan institusi Raja-Raja Melayu.
“Pendekatan yang digunakan kadangkala menimbulkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk mengubah asas-asas yang telah dipersetujui sejak sekian lama,” jelas beliau.
Orang Melayu tidak menolak kaum Cina
Beliau menegaskan bahawa hakikatnya orang Melayu telah lama hidup bersama, bekerja dan berniaga serta berjiran dengan kaum Cina serta kaum-kaum lain dalam suasana harmoni.
Apa yang ditolak, menurut beliau, adalah sikap politik yang dianggap terlalu agresif sehingga menghakis kepercayaan antara kaum di saat masyarakat majoriti Melayu masih bersikap toleransi.
Beliau menyeru agar masa depan Malaysia dibina atas prinsip saling menghormati dan bukannya rasa curiga antara etnik di mana pemimpin politik diingat supaya memainkan peranan pengukuh perpaduan dan bukannya pembina tembok kebencian.
“Sebagai sebuah negara majmuk, masa depan Malaysia tidak boleh dibina atas rasa curiga antara Melayu, Cina, India dan lain-lain etnik. Sebaliknya, ia mesti dibina atas prinsip saling menghormati.
“Adalah jelas bahawasanya orang Melayu menghormati hak kaum lain sebagai warganegara. Sebagai timbal balik, semua kaum perlu menghormati hak orang Melayu dan asas-asas kenegaraan yang menjadi tunjang kestabilan negara,” tegasnya.
Beliau menyatakan bahawa musuh utama perpaduan bukanlah perbezaan kaum, tetapi ideologi politik yang mengancam keseimbangan yang telah lama menjadi kekuatan Malaysia. – HARAKAHDAILY 6/6/2026















