PN Pahang sasar menang 26 kerusi DUN – Andansura

Lancar Bilik Operasi Bentong hadapi PRU16

- Advertisement -

BENTONG: Perikatan Nasional (PN) Pahang menetapkan sasaran untuk memenangi 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

- Advertisement -

Sasaran itu dinyatakan susulan pelancaran Bilik Operasi dan Pejabat PN Parlimen Bentong di Pejabat GERAKAN Negeri Pahang, Jalan Ketari hari ini yang menjadi isyarat kesediaan sepenuhnya jentera gabungan itu.

Setiausaha PN Pahang, Dato’ Andansura Rabu berkata, pelancaran tersebut merupakan petanda bahawa kemenangan semakin kelihatan dan PN bersedia untuk menang di Pahang, termasuk di Parlimen Bentong serta kerusi-kerusi DUN di bawahnya.

“PN Pahang menyasarkan kemenangan 26 kerusi DUN bagi membentuk Kerajaan Negeri Pahang selepas PRU16 akan datang. Segala gerak kerja telah disusun dan dilaksanakan di peringkat akar umbi bagi melestarikan kemenangan,” katanya.

Pahang kini berada di bawah pentadbiran Kerajaan Campuran yang dibentuk melalui antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU15 berikutan keadaan DUN yang tergantung.

PN yang memenangi 17 kerusi DUN pada pilihan raya lalu kini bertindak sebagai pembangkang utama dan secara konsisten menggelar diri mereka sebagai ‘government in waiting’.

Timbalan Pengerusi PN, Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai menegaskan bahawa Parlimen Bentong mempunyai potensi besar untuk dimenangi memandangkan rakyat sedang menilai kegagalan kerajaan sedia ada dalam menunaikan janji.

Beliau menarik perhatian mengenai isu Lynas yang didakwa telah diabaikan oleh Kerajaan PH-BN meskipun ia sangat sinonim dengan perjuangan rakyat di Bentong sebelum ini.

“Rakyat bukan hanya mahu janji, tetapi mahu janji itu ditunaikan. Hari ini rakyat semakin bijak menilai. Banyak janji tidak ditunaikan dan rakyat tidak mendapat penyelesaian sebenar.

“Rakyat adalah penentu sesebuah kerajaan. Kita yakin rakyat akan memilih Perikatan Nasional kerana PN mengutamakan rakyat,” ujar beliau.

Tambahnya, ketidakstabilan Kerajaan Pusat serta pembubaran beberapa DUN seperti di Johor dan Negeri Sembilan memberi ruang kepada rakyat untuk membuat perbandingan prestasi.

Bilik Operasi sebagai Pusat Aduan Rakyat

Sementara itu, Bendahari PN Pahang, Dato’ Jasri Jamaluddin menyatakan keyakinan bahawa isu pembahagian kerusi di negeri itu telah diselesaikan dengan baik, sekali gus membuktikan kesepakatan jentera di semua peringkat.

Setiausaha PN Parlimen Bentong, Ustaz Roslan Md Esa pula menegaskan bahawa pejabat baharu itu akan berfungsi sebagai pusat gerak kerja yang menyantuni denyut nadi masyarakat setempat.

“PN Bentong komited untuk menyantuni rakyat, mendengar denyut nadi masyarakat dan menyelesaikan isu rakyat secara berterusan. Kita mahu pejabat ini menjadi tempat rakyat datang membawa masalah dan tempat jentera turun membawa penyelesaian.

“Insya-Allah, dengan kesepakatan PAS, BERSATU, GERAKAN, MIPP serta seluruh jentera PN, kita yakin Parlimen Bentong mampu mencipta kejayaan dalam PRU16 akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2026

- Advertisement -