HIMPIT 2026 wadah ledak semangat juang anak muda

- Advertisement -

AROMA angin semilir Pilihan Raya ke-16 semakin mendekat, himpunan jentera penyokong serta pendukung bersemarak di seluruh negara dan Terengganu mengekalkan momentum kebangkitan. Negeri sifar pembangkang ini bersiap dengan kesiapsiagaan yang menyala untuk terus mempertahankan kemenangan bagi memerintah untuk penggal ketiga.

Gerakan Islam ini semakin membesar keahliannya, meranum dengan bakat-bakat baru, anak-anak muda berpendidikan dan menerima kehadiran penyokong yang pelbagai latar belakang. Konsistensinya di medan dakwah dan tarbiah telah teruji dalam tempoh yang panjang, 75 tahun di negara ini.

Dewan Pemuda PAS semenjak dekad 1960-an telah ratusan kali mengadakan ijtimak pemuda dalam kerangka mencetak kader-kader dakwah dan siasah. Semasa Dewan Pemuda PAS Pusat dipimpin oleh Ustaz Hassan Shukri, seorang anak tarbiah Ikhwanul Muslimin Iraq, program ini dinamakan Seksyen Pembinaan Mental (SPEM).

- Advertisement -

DPPP bergerak ke setiap negeri untuk mempersiapkan fikrah pemuda terutamanya tonggak lima rukun yang digagaskan oleh gerakan Islam fenomenal itu. Menurut Almarhum Ustaz Hassan Shukri, Pemuda PAS yang diasak dengan program tarbiah telah berjaya menghadapi serangan agresif tidak beradab pemuda Umno yang dikenali sebagai ‘pemuda tahan lasak’.

Hujung minggu ini, Dataran Rebana Besut dan kawasan sekitarnya akan menjadi ‘hotel’ yang akan menampung ribuan peserta HIMPIT 2026 melepaskan lelah bersimpuh dengan beragam program diatur oleh penganjur. Gerai-gerai jualan yang pelbagai akan menyempurnakan himpunan ini, termasuk gerai-gerai pameran yang akan diuruskan oleh pelbagai entiti dalam jamaah, NGO-NGO mesra jamaah, peniaga pelbagai barangan dan lain-lain lagi.

Penulis teringat keterujaan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan serta negeri-negeri dalam dekad 1990-an mengadakan pelbagai himpunan Pemuda negeri dengan jenama-jenama HIMPIT, HARAP, HEMPAS dan HEMPAP. Hebatnya, Dewan Pemuda PAS Terengganu sahaja yang berjaya mengekalkan himpunan tahunan mereka yang dijenamakan sebagai HIMPIT.

HIMPIT 2026 telah berlangsung dengan euphoria santai namun sarat dengan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh pimpinan, pengkuliah, juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat dan negeri. Program ini memberikan kesan yang mendalam untuk memperkasakan kembali program semangat untuk berdepan dengan PRU-16 yang getir. HIMPIT 2026, selain mencetak kader-kader perjuangan di bumi Terengganu, ianya merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini.

PAS walaupun disibukkan dengan medan siasah namun tidak melupakan kewajipan asasinya untuk membenihkan kefahaman terhadap ahli-ahlinya terutama anak-anak muda yang masih hijau pengalaman mereka.

Acara kemuncak perasmian HIMPIT telah disempurnakan oleh Sang Murabbi yang mengabdikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah pemuda semenjak dekad 1970-an lagi. Tan Sri Dato’ Seri Tuan GuruAbdul Hadi Awang membakar semangat dengan meruak kisah kepentingan generasi muda dalam perjuangan Islam, berakar daripada kisah para anbiya’ sehinggalah ke zaman kini.

Figura perjuangan ini juga mengaitkan Daerah Besut sebagai kubu PAS dalam dekad 1950-an sehingga berjaya menghantar Dr Burhanudin al Helmi sebagai Ahli Parlimen PAS dalam pilihan raya tahun 1959. Terengganu pula adalah negeri pertama yang dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya tersebut. Generasi mudalah yang membuat perubahan politik; mereka kelompok yang fleksibel untuk berubah serta tangkas minda dan fizikal.

Tuan Guru mengingatkan peserta HIMPIT mengenai sejarah jatuh bangun ummah. Kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924 telah mengakibatkan umat Islam bercempera, hilang kekuatan dan dijajahi oleh musuh-musuh Islam. Penyakit al-wahn telah menyelimuti jiwa umat Islam, kecintaan kepada dunia serta takut kepada mati.

Sebagaimana janji Allah, dalam Surah as-Saff ayat lapan, Allah akan tetap memelihara Deenullah. Islam tetap akan dijagai oleh kumpulan Islam yang bercirikan wawasan akhirat, mereka tetap berdakwah, melaksanakan amar makruf serta mencegah kemungkaran. Allah akan melahirkan kumpulan ini di setiap zaman apatah lagi selepas jatuhnya kerajaan Islam yang terakhir.

Kumpulan Islam dalam sejarah perjuangan kemerdekaan telah menentang penjajah dengan gigih. Penjajah Barat gagal dalam usaha memurtadkan umat Islam di Nusantara kerana arus gerak kerja dakwah dan jihad pendidikan. Umat Melayu Nusantara tetap diajar dengan pelbagai ilmu Islam  walaupun di zaman penjajahan. Malangnya, umat Islam kini tidur dalam ‘cahaya’ dan peranan gerakan Islam adalah untuk mengejutkan umat yang sedang lena. Ummah dijauhkan dengan politik Islam, Islam hilang kekuasaan kerana bersemarak kejahilan politik Islam sedangkan ar-Rasul SAW memegang tampuk kekuasaan.

PAS adalah mata rantai perjuangan Islam di Malaya, jika di Indonesia ditubuhkan Sarekat Islam Indonesia oleh kelompok ilmuan Islam serta parti-parti Islam ditubuhkan di pelbagai belahan dunia Islam.

Dalam denai sejarahnya, ulama bersidang di Batu Pahat, Johor, seterusnya di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang pada tahun November 1951 tertubuhnya PAS. Tuan Guru memperihalkan sejarah penglibatan PAS serta tokoh-tokohnya dalam menjaga kemaslahatan ummah. Peranan PAS dalam Islamisasi dekad 1970-an saat era the blue eyes mentality, tokoh-tokoh ilmuan yang mendukung PAS seperti Prof Dr Ahmad Ibrahim, Prof Aminuddin Baki, manakala pimpinan utama PAS juga sangat layak menjadi Perdana Menteri seperti Dr Abbas Alias dan Dr Burhanuddin al-Helmi namun mereka dinafikan kerana mereka adalah tokoh-tokoh PAS.

Menarik juga wejangan Ustaz Afnan Hamimi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang membakar jerami semangat peserta HIMPIT. Tokoh anak muda itu mengingatkan agar seluruh pemuda Islam untuk menggalas beban perjuangan PAS di masa hadapan, bukan seperti anak-anak kecil yang disuap makan oleh ibu, manja dalam zon selesa. Islam tidak akan menang di tangan sang pengecut dan pemuda yang manja.

Pemuda PAS berkorban untuk hadir ke HIMPIT, mereka tidak ditajai seperti mana parti-parti lain. Poket mereka mengeluarkan belanja sendiri untuk berhimpun dan inilah membenih kecintaan kepada perjuangan.

Beberapa hari sahaja lagi kita akan berpanas di bumi Besut yang unik, antara kepongahan dan ukhuwwah semahal tempayan emas! Tahniah semua peserta HIMPIT 2026. Kali ini juga dengan pelancaran jentera pilihan raya Dewan Pemuda PAS Terengganu, dengan ikrar untuk menggapai kemenangan total, tidak berganjak walau sejuta hambatan menghalang. Anak muda PAS Terengganu set nnelang!!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 6/6/2026


- Advertisement -