
BESUT: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyeru seluruh Pemuda PAS memperkukuhkan kesatuan dan bersedia menjadi benteng terakhir perjuangan Islam dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan PRU16 sebagai medan perjuangan penting untuk masa depan negara ketika menyampaikan ceramah sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2026 di Pantai Air Tawar, di sini malam tadi.
Menurutnya, perjuangan yang dibawa PAS hari ini merupakan kesinambungan perjuangan Rasulullah SAW, para Sahabat RA, tabiin dan ulama yang menyebarkan Islam sehingga berkembang ke bumi Terengganu.
“Pemuda yang hadir pada hari ini beruntung kerana dapat mendengar secara langsung amanat dan pesanan pimpinan parti yang perlu dijadikan pedoman dalam meneruskan perjuangan Islam,” katanya.
Beliau turut mengimbau kejayaan HIMPIT 2023 yang menurutnya berjaya menarik perhatian rakyat walaupun berdepan pelbagai kritikan dan kontroversi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.
Katanya, keputusan PRN 2023 membuktikan rakyat Terengganu memberikan sokongan yang jelas kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam ucapan sama, Ahmad Fadhli menegaskan bahawa Besut mempunyai kedudukan penting dalam sejarah perkembangan Islam apabila menjadi tempat lahirnya ramai ulama dan institusi pondok yang menyumbang kepada pembinaan kesedaran umat.
Beliau turut menyifatkan PRU16 sebagai pilihan raya yang amat penting dan berpotensi menjadi penentu kepada perubahan landskap politik negara.
“Kitalah yang akan menjadi benteng ini. Waktunya sudah semakin tiba. Kalau kita tidak boleh menang dalam PRU16 ini, sekarang atau tidak lagi,” tegasnya.
Menurut beliau, PAS dan PN perlu memperkukuhkan gerak kerja serta memperluaskan kerjasama politik demi memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.
Ahmad Fadhli juga menyatakan terdapat desas-desus mengenai kemungkinan Parlimen dibubarkan lebih awal dan menyeru jentera parti supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Pada masa sama, beliau menegaskan agenda utama PAS dalam PN adalah memperkukuhkan perpaduan Melayu dan Islam serta membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak yang mempunyai matlamat sama.
Beliau berharap segala usaha penyatuan yang sedang dirintis dapat diteruskan dengan penuh keikhlasan demi kepentingan umat Islam dan negara.
Ahmad Fadhli turut menyeru seluruh Pemuda PAS khususnya di Terengganu mempertahankan kemenangan parti di negeri itu serta memperkemaskan persiapan menghadapi PRU16.
“Di Kelantan 14-0, di Terengganu 8-0. Kalau kita dapat majoriti yang kuat, Sabah dan Sarawak akan turut bersama. Insya-Allah kita akan menjadi kerajaan di Putrajaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2026











