
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP).
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya mengingatkan kerajaan supaya tidak membenarkan unsur kapitalisme mencengkam sehingga melibatkan urusan pengebumian umat Islam.
Beliau berkata, pihaknya mengiktiraf keperluan mendesak untuk menyediakan tanah perkuburan Islam baharu berikutan kapasiti sedia ada yang semakin terhad.
Bagaimanapun tegasnya, pelaksanaan projek melalui model PPP itu menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijelaskan secara telus kepada rakyat.
Khususnya gesa Ustaz Azhar, berkaitan bentuk kerjasama, hak pengurusan, tempoh konsesi, penetapan kadar caj serta jaminan bahawa tanah perkuburan Islam tidak akan dikomersialkan.
Menurut beliau, isu sebenar bukan tertumpu kepada pembinaan tanah perkuburan semata-mata, sebaliknya siapa yang akan mengawal, mengurus dan menikmati manfaat ekonomi daripada kemudahan berkenaan pada masa hadapan.
“Tidak ada penjelasan sama ada syarikat swasta hanya membina infrastruktur atau turut diberikan hak mengurus operasi tanah perkuburan.
“Rakyat juga berhak mengetahui siapa yang akan menentukan kadar caj pengebumian dan apakah jaminan tanah perkuburan Islam tidak menjadi sektor berorientasikan keuntungan,” katanya.
Beliau menegaskan, tanah perkuburan Islam merupakan amanah syarak yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan fardu kifayah dan tidak seharusnya dilihat sebagai aset komersial.
Katanya, walaupun penglibatan sektor swasta dalam aspek teknikal dan pembinaan boleh dipertimbangkan, hak kawalan, dasar, kadar caj serta kepentingan awam hendaklah kekal di bawah kerajaan dan institusi agama.
PAS Wilayah Persekutuan turut mengingatkan bahawa sekiranya model PPP berkembang kepada penswastaan operasi sepenuhnya, ia berpotensi membawa implikasi seperti peningkatan kos pengebumian.
Juga beliau tidak menolak akan berlaku monopoli pengurusan tanah perkuburan, pengkomersialan urusan kematian serta beban kewangan lebih besar kepada waris, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Sehubungan itu, PAS Wilayah Persekutuan mengemukakan lima tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan, antaranya supaya mendedahkan kandungan utama perjanjian PPP secara terbuka.
Beliau juga menggesa kerajaan menjamin hak kawalan dan pemilikan tanah perkuburan Islam kekal di bawah kerajaan serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Selain tuntutnya agar mengehadkan penglibatan swasta kepada aspek pembinaan dan teknikal, mengawal kadar caj pengebumian serta menggubal dasar nasional yang mengiktiraf tanah perkuburan Islam sebagai kemudahan awam strategik tidak boleh dikomersialkan.
“PAS Wilayah Persekutuan tidak menolak pembangunan atau kerjasama dengan sektor swasta, namun menegaskan sebarang pembangunan tidak boleh membuka ruang kepada pengkomersialan hak-hak awam yang menjadi amanah umat Islam.
“Tidak wajar satu demi satu kepentingan rakyat berpindah daripada amanah awam kepada penguasaan kapitalis sehingga akhirnya urusan kematian juga menjadi beban kewangan kepada rakyat.
“Tanah perkuburan Islam bukan sekadar sebidang tanah, tetapi lambang maruah umat dan amanah syarak yang wajib dipelihara berasaskan maslahah, keadilan dan kebajikan, bukan keuntungan korporat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2026











