
KANGAR: Mahkamah Tinggi Kangar hari ini membatalkan Saman Pemula yang difailkan oleh tiga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Perlis membabitkan kerusi DUN Chuping, Guar Sanji dan Bintong tanpa sebarang perintah kos.
Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, saman tersebut difailkan susulan krisis politik di Perlis pada penghujung tahun lalu selepas ketiga-tiga ADUN berkenaan digugurkan keahlian daripada PAS.
Berikutan itu menurutnya, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan pada 25 Disember 2025 mengisytiharkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Guar Sanji dan Bintong.
“Ketiga-tiga mantan ADUN terbabit kemudiannya memfailkan Saman Pemula bagi mencabar keputusan yang dibuat oleh Speaker DUN Perlis.
Prosiding pada hari ini melibatkan pendengaran permohonan oleh YB Speaker Perlis dan Dewan Negeri Perlis untuk membatalkan Saman Pemula tersebut,” katanya.
Hakim, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas, dalam keputusannya membenarkan permohonan Rus’sele Eizan untuk membatalkan Saman Pemula itu.
Beliau memutuskan bahawa Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan keistimewaan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri sehingga keesahan keputusannya tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Menurutnya, Mahkamah turut memutuskan bahawa keputusan Speaker menggunakan budi bicaranya di bawah Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis adalah sah.
Selain itu, mahkamah menegaskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencampuri urusan Dewan Undangan Negeri selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, selagi kuasa tersebut dilaksanakan dalam ruang lingkup undang-undang dan Perlembagaan.
Dalam prosiding itu, Speaker DUN Perlis dan Dewan Negeri Perlis diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, Dr Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu, manakala tiga mantan ADUN berkenaan diwakili oleh peguam Mohd Jamil Yaacob.
Keputusan tersebut disampaikan di Mahkamah Tinggi Kangar pada jam 1.15 petang, hari ini.
Turut hadir bersama Pesuruhjaya PAS Perlis, Tuan Guru Ahmad Ali dan Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun serta ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad. – HARAKAHDAILY 8/7/2026











