
LABIS: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi menggesa pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang memberi mandat kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Normala Sudirman atau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.
Beliau berkata, rakyat perlu berani membuat pilihan baharu dengan memberi undi kepada Normala atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala demi memastikan suara mereka terus dibawa dan diperjuangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Menurutnya, pencalonan Cikgu Mala bukan sekadar mewakili PERIKATAN NASIONAL, malah membawa aspirasi golongan wanita serta warga pendidik yang memahami keperluan masyarakat setempat.
“Sepanjang saya berada di DUN Tenang, saya melihat masyarakat mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat perubahan. Jadi sudah sampai masanya masyarakat memberikan satu pilihan baharu dengan memilih PN bagi membawa amanah rakyat ke DUN Johor,” katanya.
Mumtaz berkata, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan seorang calon wanita muda yang berpengalaman sebagai guru dan diyakini mampu memikul amanah sebagai wakil rakyat.
“Kepentingan kita ialah menghantar seorang calon muslimat, seorang wanita muda yang berjiwa besar dan sanggup berkhidmat untuk masyarakat.
“Beliau juga mempunyai pengalaman sebagai guru, sekali gus memahami denyut nadi rakyat serta keperluan masyarakat di kawasan ini,” jelasnya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Normala mampu menggalas amanah rakyat dengan baik sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.
“Sama-sama kita buktikan bahawa, insya-Allah, Cikgu Mala mampu membawa amanah dan memperjuangkan kepentingan masyarakat di Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemenangan PN di DUN Tenang bukan sahaja penting kepada penduduk setempat, malah mampu memberi impak terhadap landskap politik Johor.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera dan penyokong PERIKATAN NASIONAL memperkukuhkan gerak kerja bagi memastikan sokongan rakyat diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian.
“Marilah kita pastikan sokongan bulat diberikan kepada calon kita di DUN Tenang, Cikgu Mala, calon nombor dua. Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak, kita mampu mencipta kemenangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2026











