Sektor pertanian Terengganu tumbuh 4.2 peratus

Kedua tertinggi di Malaysia

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sektor pertanian Terengganu terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan kadar pertumbuhan 4.2 peratus pada 2025, sekali gus muncul sebagai negeri kedua tertinggi di Malaysia bagi pertumbuhan sektor berkenaan.

- Advertisement -

Berdasarkan statistik terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pertanian kekal sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan kadar pertumbuhan keseluruhan sebanyak 2.2 peratus.

Mengikut prestasi pertumbuhan sektor pertanian mengikut negeri, Sarawak mendahului dengan kadar 4.3 peratus, diikuti Terengganu (4.2 peratus), Selangor (4.0 peratus), Kelantan (3.6 peratus) dan Pahang (2.7 peratus).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan perancangan serta komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor agromakanan dan komoditi.

Katanya, pertumbuhan berterusan itu turut membuktikan sektor pertanian Terengganu berada pada landasan yang tepat bagi menyokong agenda keterjaminan makanan dan meningkatkan sosioekonomi rakyat.

“Perbandingan KDNK antara negeri perlu dilihat secara adil berdasarkan sifat ekonomi setiap negeri. Terengganu ialah sebuah negeri pertanian, maka tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan negeri-negeri perindustrian yang mempunyai kemudahan import dan eksport,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu didorong pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi termasuk pemerkasaan infrastruktur pengairan, pembangunan komoditi komersial, pengurusan sumber perikanan secara lestari serta penyaluran pelbagai insentif kebajikan kepada petani, penternak dan nelayan bagi mengurangkan kos operasi.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi negeri dan Persekutuan bagi memastikan momentum pertumbuhan sektor pertanian dapat dikekalkan, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2026

- Advertisement -