‘Tukun Pok Cik Man’ bukan guna dana kerajaan

Azman mengendalikan kren menurunkan tukun tiruan miliknya
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim menafikan dakwaan bahawa tukun tiruan yang dinamakan sebagai ‘Tukun Pok Cik Man’ dibina menggunakan peruntukan kerajaan bagi kepentingan peribadi.

- Advertisement -

Sebaliknya, beliau menjelaskan tukun berkenaan merupakan sumbangan peribadinya sebagai tambahan kepada program pelabuhan tukun tiruan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menurut beliau, projek yang dibiayai kerajaan melibatkan sebanyak 155 unit tukun, manakala beliau menyumbang dua unit ‘Tukun Pok Cik Man’ setiap tahun menggunakan wang sendiri.

“Ada sedikit rezeki, saya tambah dua unit Tukun Pok Cik Man setiap tahun sebagai tambahan kepada 155 tukun kerajaan. Tahun ini, Tukun Pok Cik Man yang kelapan telah selamat dilabuhkan di Setiu.

“Manakala yang kesembilan dijadualkan menyusul di perairan Rusila pada September depan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan menamakan tukun tersebut sempena nama popularnya.

Pada Khamis lalu, sebanyak 22 unit tukun tiruan berjaya dilabuhkan di perairan Setiu dalam usaha memperkukuh zon pembiakan marin serta melindungi kawasan tangkapan nelayan tradisional.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, isu penamaan tukun itu tidak seharusnya dipolemikkan kerana ia berada di dasar laut dan hanya menjadi habitat hidupan marin.

“Pok Cik Man kena buang dalam laut sahaja, yang tengok hanya ikan. Jangan risau sebab ikan tidak mengundi pun,” katanya secara berseloroh.

Dalam perkembangan sama, beliau mempelawa mana-mana pihak untuk turut menyumbang kepada usaha pemuliharaan ekosistem marin di Terengganu dengan nama penyumbang akan diabadikan pada tukun yang disumbangkan.

“Siapa yang hendak menyumbang, dialu-alukan. Kita akan letak tukun atas nama penyumbang tersebut. Kalau PMX beri sumbangan, kita sedia letak nama ‘Tukun PMX’,” ujarnya.

Beliau berkata, pelabuhan tukun tiruan bukan sahaja mewujudkan kawasan pembiakan baharu untuk hidupan laut, malah berfungsi sebagai benteng menghalang pencerobohan bot pukat tunda yang menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional.

Azman turut merakamkan penghargaan kepada KPKM atas kelulusan peruntukan serta komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih daun keladi, tahun depan insya-Allah kita rancang lagi program pelabuhan tukun,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2026

- Advertisement -