Mat Sabu, Anthony bakal ganti Anwar Ketua Pembangkang?

Anwar tinggal ‘based’ di Tambun isyarat PH akan kalah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan Ketua Pembangkang pada masa akan datang masih belum dapat dipastikan, berikutan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka belum jelas kerusi mana yang akan beliau tandingi atau pertahankan pada pilihan raya akan datang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, antara nama yang disebut bakal menggantikan Anwar ialah Presiden PAN, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menurutnya mampu meraih kemenangan besar di Kota Raja, sekali gus membuka laluan untuk menjadi Ketua Pembangkang.

“Jadi tak tahu lagi siapa Ketua Pembangkang akan datang. Boleh jadi Haji Mat Sabu, dari Kota Raja, dia boleh menang 90,000 majoriti. Dia akan jadi ketua pembangkang.

“Atau boleh jadi (Setiausaha Agung DAP), Anthony Loke (Siew Fook) kalau tak berlaku pelan yang dia nak jadi Ketua Menteri Pulau Pinang, dia boleh turun jadi Ketua Pembangkang,” seloroh beliau.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Gombak kali ke-31 di Dewan BBIS, Taman Melawati, Hulu Kelang, di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan kedudukan Anwar Ibrahim yang menurutnya perlu mempertahankan kerusi Parlimen Tambun.

“Siapa yang akan jadi Ketua Pembangkang kita tak tahulah siapa. Tak tahu. Kalau Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ada keberanian dia boleh bertanding sekali lagi di Tambun yang dia menang dengan 3,000 undi.

“Dato’ Seri Anwar Ibrahim menang di Tambun 3,000 undi. Sepatutnya dia kena balik ke ‘based’ dia di Tambun, pertahankan Tambun untuk dia menang dalam penggal yang akan datang,” ulasnya.

Beliau berkata, sebarang perpindahan kawasan oleh Anwar ke kerusi yang lebih selesa boleh ditafsir sebagai isyarat bahawa, Anwar mengaku kalah untuk mempertahankan PH dalam penggal akan datang.

“Kalau dia lari daripada Tambun, dia bertanding di tempat yang lain yang selesa, saya dengar dia akan bertanding di Bandar Tun Razak. Ada yang kata dia nak bertanding di Pandan.

“Tapi nampak sehari dua ni ada Tengku mana dah ‘parking’ nama di Pandan. Tengku yang sama ni katanya ‘parking’ juga nama dia DUN di dalam Gombak ini.

“Tak apalah kut mana pun Tengku ke apa ke, tuan-tuan memang akan kalahkan mereka. Yang penting Dato’ Seri Anwar Ibrahim kalau dia meninggalkan Tambun dan dia bertanding di tempat lain yang dia rasa selesa, maka kita nak isytihar dia kalah sebelum daripada penamaan calon lagi.

“Kalau itulah yang dilakukan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, itu merupakan tanda awal bahawa dia telah mengaku kalah untuk pertahankan PH dalam penggal yang akan datang,” ulas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi keyakinan PAS bahawa jika berlaku pertembungan di Permatang Pauh, pihaknya bersedia berdepan dengan calon Perdana Menteri tersebut.

“Ini kita dengar bahawa dia berbahagi ayam di Permatang Pauh. Sudah banyak ayam-ayam dan lembu-lembu dibahagikan di Permatang Pauh. Saya tak percaya dia akan turun ke Permatang Pauh.

“Permatang Pauh ni ada tiga kerusi DUN yang semuanya kita menang. Kalau benar dia turun Permatang Pauh, memang ni berani sungguhlah. Berani sungguh.

“Kalau turun ke Permatang Pauh insya-Allah. Kita juga akan kalahkan calon Perdana Menteri mereka,” tegas Ahmad Fadhli.

Beliau turut menegaskan Umno dan BN perlu mengambil pengajaran daripada perkembangan politik semasa dan tidak mengulangi kesilapan lalu dalam kerjasama politik.

“Sebab itu Umno BN jangan berpaling ke belakang lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2026

- Advertisement -