PAS ikut Mullah? Ikut mu lah

- Advertisement -

SERING sahaja dalam mana-mana pilihan raya sama ada umum, negeri mahupun kecil kempen yang diadakan oleh lawan PAS akan memastikan nama PAS akan disebut dan diratib-ratib dengan bersungguh-sungguh bagaikan pengikut ajaran sesat yang sedang fana menyeru-nyeru nama guru mereka.

Jangan dikatalah waktu PAS masuk bertanding, malahan jika PAS tiada dalam senarai calon sekalipun, parti yang dilihat cenderung kepada PAS dan bertanding ketika itu akan merasa tempiasnya dengan dahsyat sekali. Terpaksa PAS pula turun untuk meruqyah jin dan syaitan yang meroyan bagi membantu rakan PAS itu berkempen.

Apa yang tidak pernah diletakkan atau digelarkan terhadap PAS? Sesat, penunggang agama, ‘Taliban’, mereka-reka hukuman hudud atau ‘Hudud PAS’, gilakan perempuan sebab berpoligami, pecah amanah sebab kutip derma? Terbaharu, ‘Mullah’. Ini semua hanya sebagai perisai kepalsuan musuh PAS supaya pengundi-pengundi mereka yang berpotensi lari kepada PAS, dipisahkan dari PAS.

- Advertisement -

Saling tidak tumpah dengan apa yang Rasulullah alami sewaktu baginda dalam proses dakwah di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Pembohong, tukang sihir, orang gila dan banyak lagi selain dari baginda dikenakan serangan fizikal seperti yang terjadi di Tha’if. Apa yang baginda lakukan ialah memekakkan telinga dengan ejekan-ejekan itu, tidak perlu membalasnya, tetapi dakwah tetap berjalan.

PAS yang menelusuri jalan dakwah bagi mengajak manusia kembali kepada Islam. Lebih 70 tahun berdakwah menerusi politik kepartian  diperkukuhkan dengan sistem tarbiyah, mempunyai hampir semua kelengkapan sebagai sebuah organisasi yang kukuh dari sekolah, organisasi politik, NGO, hubungan antarabangsa. Mana mungkin tidak dipalitkan dengan ejekan, tohmahan seperti ini. Ia sudah dijanjikan Allah jalan dakwah bukan dibentang dengan karpet merah, tetapi yang ada onak dan duri.

Dalam kempen PRN Johor, PAS cuba dikaitkan dengan isu judi. Satu parti mengatakan bahawa PAS mahu menghapuskan judi kerana memberikan keuntungan kepada kongsi gelap yang akan membuka pula judi online. Tujuannya mudah difahami, untuk mengaitkan PAS dengan kongsi gelap. Jadi lebih baik judi berlesen dibenarkan kerana akan menghalang sindiket judi meraih laba.

Dalam satu lagi serangan PAS ditunjukkan rekod meluluskan 22 kali judi yang sebelum itu hanya lapan kali. Mahu menyatakan bahawa PAS lebih teruk dari parti liberal dalam bab meluluskan judi. Jadi mana satu PAS yang sebenarnya? Jahatnya mesti dipilih, tidak akan boleh berlaku dua kali kejahatan dalam dua keadaan itu.

Lihatlah, dalam PRN Johor ini, kendatipun sudah diumumkan PAS hanya bertanding di 11 kerusi yang tidak memungkinkan PAS memerintah Johor, PAS terus diserang dengan rakusnya. Satu berkata PAS bodoh kerana bertanding tidak mahu menang, sedangkan jumlah keseluruhan kerusi ialah 33 bersama dengan PERIKATAN NASIONAL. Sudah lebih dari dua pertiga jika menang semua.

Satu lagi berkata, konon ada pakatan antara PAS dengan BN yang mana jika BN menang, akan ada ADUN Lantikan yang akan diberikan kepada PAS atas kerjasama yang PAS berikan dalam PRN nanti. Tidak lama berselang, Maszlee Malik sekonyong-konyongnya menawarkan kerjasama dengan parti-parti lain jika memerlukan mereka untuk membentuk kerajaan nanti tanpa mengecualikan BN. Peningkan? PAS rapat dengan BN jahat, dia rapat, baik.

Mengarut semuanya itu. Apa yang mereka tuduh PAS, mereka lakukan. Apa yang positif yang PAS buat untuk rakyat, mereka gagal ikut, memperlekeh dan memanipulasikannya. Jelas sekali inilah bentuk dan cara mereka berkempen dalam banyak pilihan raya. Mengulang-ulang nama PAS pastinya akan memberikan kepuasan kepada mereka. Umpama madat yang disedut rakus, melunas ketagihan.

Akhirnya kedua-dua pengundi mula meluat dengan kempen-kempen memperbodohkan rakyat sebegini. Di sekitar Johor sekarang, ada musuh PAS yang tidak kelihatan agresif langsung dalam usaha memancing undi dari pengundi Melayu Islam. Mungkin kerana sudah puas ditempelak kerana menjual agama dan mendampingi rakan politik yang dibenci Melayu Islam.

Sebaliknya apabila mereka ke kawasan bukan Melayu Islam. Malangnya, mereka juga perlahan-lahan ditolak atau tidak dipedulikan pengundi bukan Melayu Islam itu. Racun yang mereka bawa untuk menghapuskan PAS di Johor, kelihatannya tumpah dan terkena badan mereka sendiri. Mungkir janji dahulu itu masih membekas sebagai luka dalam hati mereka.

Ini bukan omong kosong kerana dalam PRU-14 PAS hanya mendapat 100,000 undi popular, BN 500,000 dan PH 800,000. 2022, ia menurun dengan drastik untuk PH kepada 400,000, PAS pula menerima ‘swing votes’ itu menjadikannya 500,000 dan Umno kekal dengan 500,000 undi popular. PH sedang berusaha keras untuk merangkul kembali undi yang hilang bersama janji-janji mereka itu pada PRN kali ini. Insya-Allah pengundi Johor tidak akan disengat dua kali dalam lubang dan ular yang sama.

Dengan strategi yang begitu hebat oleh Presiden PAS sehingga tidak terjangka oleh lawan dalam PRN ini, sekali gus memberikan PAS imej bersih, tidak menipu, tidak mahu berkelahi, mahu mendaulatkan maruah kerajaan Melayu Islam, PAS hanya memekakkan telinga, membiarkan salakan-salakan anjing dengan kafilah meneruskan perjalanannya.

Hari ini di sebalik semua fobia yang dicipta untuk PAS oleh musuh, telah datang 13 orang duta Kesatuan Eropah (EU) ke Terengganu kerana mahu melihat sendiri pentadbiran PAS di bawah pengurusan Dr Sam. Nasib baik tiada PH di Eropah, kalau tidak tak ada peluanglah PAS untuk dikenali dunia sebelah sana.

Kata orang Terengganu, ikut mu lah nak kata mende pun, gajoh ke rima ke…

MOHD NASIR ABDULLAH
6 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 6/7/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -