CEO KMI dipilih ikut kelayakan, bukan kerana politik

Azman (dua dari kiri) pada penyerahan zakat tahunan kepada MAIDAM bagi tahun berakhir 2023 adalah jumlah terbesar yang pernah dibayar KMI TDMC sejak penubuhannya
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Medik Iman (KMI), Dato’ Dr Azman Ibrahim menegaskan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu dibuat berdasarkan kelayakan dan keupayaan mengurus organisasi, bukan kerana latar belakang politik.

- Advertisement -

Beliau berkata, KMI yang merupakan anak syarikat Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TDM) kini berada dalam fasa pengembangan dengan beberapa projek hospital sedang dibangunkan, sekali gus memerlukan kepimpinan yang berpengalaman dalam aspek pentadbiran dan pengurusan.

Menurutnya, CEO KMI, Ir Ts Dr Nurul Islam memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kelestarian, selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) KMI.

“Betul dia orang PAS, tetapi dia berkelayakan. Fungsi CEO ialah kerja pentadbiran dan pengurusan. Pelantikan CEO yang tiada Medical Degree mengetuai KMI bolehlah dipertikaikan andainya tugas seorang CEO ialah merawat pesakit,” katanya.

Azman berkata, jawatan CEO KMI sebelum ini turut pernah disandang individu yang bukan berlatarbelakangkan bidang perubatan, antaranya Mat Yula dan Bryan Lin, manakala Dr Rayney Azmi merupakan CEO yang mempunyai kelulusan perubatan.

Beliau turut membangkitkan komposisi Ahli Lembaga Pengarah KMI ketika ini yang dipengerusikan oleh Dato’ Dr Alias Razak, seorang doktor perubatan.

Katanya, Ahli Lembaga Pengarah (BOD) lain yang mempunyai kelayakan dalam bidang perubatan ialah beliau sendiri sebagai doktor pergigian, selain Dr Mamad Puteh, Dr Md Noh Karim dan Dr Wan Saleha Wan Ishak masing-masing merupakan doktor perubatan.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan berapa ramai Ahli Lembaga Pengarah KMI ketika pentadbiran Umno yang mempunyai kelayakan dalam bidang perubatan.

“Tolong senaraikan berapa orang BOD KMI zaman Umno yang berkelayakan dalam bidang perubatan. Yang sempat bersama saya semasa awal pertukaran kerajaan tahun 2018 dulu ialah anak Mantan MB yang pernah jadi ADUN Air Putih,” katanya.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, KMI kini mengendalikan lima hospital pakar iaitu KMI Kuala Terengganu, KMI Kuantan, KMI Taman Desa, KMI Kelana Jaya dan KMI Tawau.

Beliau berkata, Hospital KMI Tawau mula beroperasi ketika pentadbiran PAS, manakala bangunan tambahan hospital itu dan Hospital KMI Chukai kini dalam pembinaan, diikuti Hospital KMI Bertam serta Hospital KMI Tunjong yang bakal dibangunkan.

Terdahulu, pelantikan Nurul Islam sebagai CEO KMI berkuat kuasa 1 Julai lalu menjadi perhatian selepas beberapa hantaran di media sosial mempertikaikan pelantikan berkenaan. – HARAKAHDAILY 7/7/2026

- Advertisement -