
MUAR: Pengerusi Biro Media dan Komunikasi Wanita GERAKAN, Ng Mey Yuan mencadangkan agar kawasan Muar diangkat sebagai hab perdagangan dunia baharu dengan memanfaatkan kedudukan geografinya yang strategik serta kematangan rantaian bekalan industri sedia ada.
Beliau berkata, fokus pembangunan ekonomi negeri ketika ini dilihat banyak tertumpu di kawasan selatan Johor, sedangkan potensi di wilayah utara seperti Muar harus diberi perhatian semula oleh kerajaan negeri bagi merancakkan ekonomi penduduk tempatan.
Menurut Mey Yuan, projek pembangunan pelaburan maritim (seperti hab marin dan aktiviti import-eksport) di Muar mampu menjadi pemangkin atau potensi baharu untuk melonjakkan kawasan tersebut sebagai koridor sosial dan ekonomi yang dinamik.
“Muar sebenarnya mempunyai sejarah ekonomi sungai yang sangat bagus suatu masa dahulu. Kedudukan Muar juga tidak jauh dari Sumatera, Indonesia. Kita mempunyai hubungan pertukaran perniagaan yang sangat dekat dengan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mendedahkan terdapat kekangan infrastruktur perlu diselesaikan segera bagi membolehkan logistik kontena masuk secara terus ke kawasan perindustrian Muar tanpa perlu melalui pelabuhan luar yang meningkatkan kos logistik.
“Muar ada satu isu fasal jambatan itu yang agak sempit, hanya lebar 20 meter dan tinggi sekitar tujuh meter sahaja. Jadi, kontena tidak boleh masuk. Ini adalah perkara yang saya nak kena selesaikan sekarang, macam mana saya mahu tolong industri ini,” jelas beliau lagi.
Beliau yang berpengalaman dan terlibat dalam perniagaan menambah, rantaian bekalan bahan mentah makanan seperti hasil laut ketika ini banyak diimport dari Indonesia.
Justeru katanya, pintu sempadan perdagangan yang lebih terbuka antara Muar dan Sumatera sewajarnya diwujudkan memandangkan kedua-dua wilayah berkongsi budaya dan pasaran makanan halal yang serupa.
Industri perlu jaminan bahan mentah
Mengulas mengenai sektor pembuatan, Mey Yuan yang juga merupakan pakar runding pengurusan industri menyatakan bahawa Muar merupakan pengeluar produk perabot terkemuka dan pernah berada pada kedudukan lima terbaik di peringkat global.
Walau bagaimanapun, industri tersebut kini berdepan saingan sengit daripada negara luar seperti Vietnam berikutan masalah kekurangan bekalan kayu getah tempatan.
“Persaingan kerana kita tak ada kayu. Kita kena beli kayu dekat luar negara seperti dari China, Indonesia, dan Thailand. Apabila kita ambil kayu dari luar negara, sedangkan mereka juga buat perabot, jadi macam mana kita mahu saing dengan dia?” katanya.
Kerana itulah tegas Mey Yuan, pentingnya mewujudkan koridor sosial untuk memastikan kestabilan sumber material berkenaan di mana kemerosotan industri perabot utama akan memberikan kesan domino yang besar terhadap keseluruhan rantaian subkontraktor di Muar.
Jelas beliau, ia merangkumi pembekal perkakasan, cat, kain, spring, sehinggalah kepada industri perkhidmatan setempat seperti kedai makan dan salun rambut.
Cabaran pensijilan Halal peniaga PKS
Dalam perkembangan lain, Mey Yuan turut berkongsi pengalamannya selama 20 tahun dalam bidang teknikal pensijilan halal Malaysia (JAKIM) dan Indonesia.
Beliau mengakui bahawa penglibatan peniaga bukan Islam terhadap pensijilan halal amat tinggi didorong oleh faktor permintaan pasaran tempatan dan peluang eksport ke luar negara seperti Singapura.
Namun begitu, beliau tidak menafikan proses dokumentasi bagi premis makanan berskala kecil dan sederhana (PKS) seperti kopitiam atau kafe agak rumit berbanding kilang pengeluaran produk tunggal.
“Kalau sekarang kilang kek atau roti nak mohon halal, bagi mereka sangat senang kerana ramuan tidak lebih 100 jenis. Tetapi bayangkan sebuah kopitiam atau kafe yang menghidangkan nasi lemak, mi bandung, mi rebus, dan kuih-muih.
“Mereka mungkin menggunakan 1,000 hingga 2,000 bahan ramuan yang setiap satunya wajib mempunyai sijil halal yang sah dan masih belum tamat tempoh. Jika pengurusan dokumentasi tidak bagus, permohonan mudah ditolak,” ujarnya.
Beliau bersiaran dalam podcast Kekal Tenang yang dikendalikan oleh Khairul Nadzir Helmi Azhar sempena Pilihan Raya Negeri Ke-16 Johor, di sini kelmarin.
Seruan kepada pengundi PRN Johor
Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini, Mey Yuan menyeru semua lapisan masyarakat, khususnya pengundi muda dan masyarakat Cina di Muar untuk melaksanakan tanggungjawab mereka secara bijak.
Beliau menyifatkan landasan politik dibawa oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) mampu bertindak sebagai kuasa pengimbang yang terbaik dalam landskap politik dan persekitaran negara pada masa kini.
“Keluar mengundi adalah hak anda. Ini masanya untuk kita menilai janji-janji yang tidak ditunaikan sebelum ini. Kita perlu menjadi pengundi yang bijak menilai dan memberikan pengajaran sekiranya ada pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2026











