Boikot PRN Johor jejaskan demokrasi penyertaan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Demokrasi penyertaan menjadi akar tunjang demokrasi Malaysia dan setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas mempunyai hak untuk mengundi bagi memilih wakil membentuk kerajaan Persekutuan dan negeri.

Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, justeru itu rakyat tidak seharusnya memboikot Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana pengundian adalah tanggungjawab penting dalam proses demokrasi.

- Advertisement -

Beliau berkata, hanya Raja-raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri, isteri masing-masing, banduan serta orang yang disahkan tidak siuman tidak dibenarkan mengundi.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, Raja-raja Melayu (termasuk Yang di-Pertuan Agong) dan Yang di-Pertua Negeri serta pasangan masing-masing dikecualikan daripada mendaftar sebagai pemilih.

“Dan (mereka) tidak dibenarkan mengundi dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK). Begitu juga dengan orang yang disahkan tidak siuman dan orang yang sedang menjalani hukuman penjara.

“Turut disekat adalah warganegara Malaysia yang telah dijatuhi hukuman mati atau penjara lebih 12 tahun di mana-mana wilayah Komanwel,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Menurutnya, mengundi adalah sangat penting, namun masih ramai rakyat Malaysia tidak mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian pengundi berdaftar pula tidak keluar menunaikan tanggungjawab itu.

Beliau menjelaskan, dalam PRU 2022, seramai 21,173,638 orang mendaftar sebagai pemilih, meningkat 41.72 peratus, tetapi jumlah keluar mengundi hanya 74.13 peratus, merosot 8.19 peratus berbanding PRU 2018.

“Akibatnya, kerajaan yang terbentuk bukanlah kerajaan pilihan ramai sebaliknya kerajaan minoriti dengan kualiti kepemimpinan yang dicurigai,” kesalnya.

Mengulas mengenai Johor, Abdul Kadir menerangkan, Kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor yang baru dibubarkan adalah contoh kerajaan pilihan minoriti berikutan jumlah pengundi yang keluar mengundi pada PRN 2022.

Menurutnya, ketika PRN Johor 2022, seramai 2,597,742 orang berdaftar sebagai pengundi, namun hanya 1,391,162 orang atau kira-kira 54 peratus keluar mengundi.

“Daripada 1,391,162 yang mengundi itu, 599,763 atau 43.11 peratus memilih BN. Namun BN berjaya menawan 40 kerusi. Kalau dibandingkan dengan 2,597,742 pengundi berdaftar, undi yang BN diperoleh hanyalah kira-kira 23 peratus.

“Maksudnya, hanya 23 orang daripada setiap 100 yang mendaftar sebagai pengundi, memilih kerajaan BN,” ulas beliau.

Beliau menegaskan, bagi negeri maju, berpelajaran dan mempunyai sistem pengangkutan yang baik, peratusan itu boleh dianggap sangat rendah seolah-olah wujud boikot oleh pengundi.

Jelasnya, keadaan itu berbeza dengan PRN Johor 2018 apabila jumlah keluar mengundi mencecah 84.50 peratus.

“Boleh jadi pengundi jemu dan hilang keyakinan akibat permainan politik dan manipulasi yang melampau. Contohnya tukar ganti Menteri Besar. Empat Menteri Besar dalam masa kurang lapan tahun,” jelasnya.

Abdul Kadir turut menyenaraikan empat MB Johor dalam tempoh berkenaan iaitu Osman Sapian (PH-BERSATU, 12 Mei 2018 hingga 14 April 2019) dan Dr Sahruddin Jamal (PH-BERSATU, 14 April 2019 hingga 28 Februari 2020).

Selain itu, menurut beliau, MB Johor ketiga adalah Hasni Mohammad (BN-Umno, 28 Februari 2020 hingga 15 Mac 2022) dan keempat ialah Onn Hafiz Ghazi (BN-Umno, 15 Mac 2022 hingga kini).

“Hasni memimpin BN-Umno ke arah kemenangan dalam PRN 2022, tetapi Onn Hafiz yang dilantik jadi MB,” terangnya lagi.

Beliau berkata, bagi PRN Johor kali ini juga, ramai mempersoalkan mengapa DUN perlu dibubarkan lebih 10 bulan lebih awal sedangkan kerajaan negeri kukuh.

“Kesimpulannya, susah untuk menggalakkan pengundi Johor keluar beramai-ramai mengundi Sabtu ini (11 Julai), atau menyalahkan mereka jika mereka tidak keluar mengundi.

“Mereka telah lihat bagaimana mandat dan pilihan mereka dimanipulasi dan dieksploitasi oleh pihak-pihak di dalam dan di luar kerangka politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2026

- Advertisement -