
KUALA TERENGGANU: Peranan media yang berintegriti dan bertanggungjawab kini penting dalam mendepani cabaran era digital serta perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, media hari ini bukan lagi sekadar melaporkan berita, sebaliknya berperanan membina pemikiran masyarakat serta memastikan rakyat menerima maklumat tepat dan sahih.
Menurutnya, kepantasan teknologi digital, ledakan kandungan media sosial dan perkembangan AI telah mengubah cara masyarakat menerima, menilai serta menyebarkan maklumat.
“Media hari ini bukan hanya sekadar melaporkan berita, tetapi merupakan institusi yang membantu membina pemikiran masyarakat, memperkukuh keyakinan awam serta memastikan rakyat menerima maklumat tepat dan sahih.
“Dalam dunia yang semakin terbuka dan tanpa sempadan, masyarakat bukan sahaja memerlukan maklumat pantas, bahkan lebih utama ialah maklumat benar, tepat, sahih dan boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Malam Apresiasi Media 2026 ‘EPIC Press & Petals’, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah dan kepimpinan Kumpulan EPIC.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media khususnya di Terengganu yang sentiasa komited menyampaikan informasi terkini serta menjadi penghubung strategik antara kerajaan, industri dan rakyat.
Katanya, hubungan erat antara kerajaan negeri dan pihak media merupakan elemen penting dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat, telus dan berkesan kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri Terengganu amat menghargai profesionalisme pengamal media yang sentiasa komited melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam memastikan penyampaian maklumat berkaitan dasar kerajaan, pembangunan negeri dan isu berkaitan rakyat dapat difahami secara jelas dan seimbang.
“Saya percaya bahawa hubungan baik serta erat antara kerajaan negeri dan pihak media merupakan elemen penting dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat, telus dan berkesan kepada rakyat, sekali gus mewujudkan ekosistem komunikasi yang matang, telus dan konstruktif antara kedua-dua belah pihak,” katanya.
Mohd Azmi berkata, Terengganu kini bergerak aktif memperkukuhkan kedudukan sebagai antara hab ekonomi strategik di Pantai Timur khususnya dalam sektor tenaga, logistik, maritim, pelabuhan, pelancongan dan pelaburan.
Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti EPIC Berhad memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Di sinilah kepentingan media yang bukan sahaja dapat membantu menyebarluaskan maklumat perkembangan pembangunan negeri, malah turut menjadi rakan strategik yang mampu membina keyakinan pelabur, memperkukuh imej negeri serta menyerlahkan potensi dan kekuatan Terengganu kepada dunia luar.
“Atas dasar itu, kerajaan negeri amat menghargai hubungan kerjasama strategik yang telah terjalin sekian lama bersama rakan-rakan media, kerana peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat, bahkan turut menjadi sebahagian daripada faktor penting dalam memperkukuh pembangunan, memperjelas kefahaman masyarakat serta memacu kemajuan Negeri Terengganu Darul Iman,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2026











