PASTI Terengganu nafi bayar RM40,000

Susulan dakwaan guna duit untuk meraih pengiktirafan Best Preschool of the Year pada World School Summit 2026 di Bangkok, Thailand

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Jabatan PASTI Negeri Terengganu menafikan dakwaan bahawa pihaknya membayar sehingga RM40,000 untuk mendapatkan pengiktirafan Best Preschool of the Year pada World School Summit 2026 di Bangkok, Thailand.

Pengarah PASTI Terengganu, Fauzi Mahammad berkata, tuduhan tersebut adalah tidak tepat memandangkan yuran penyertaan yang dikenakan merupakan perkara biasa dalam mana-mana persidangan atau anugerah peringkat antarabangsa.

- Advertisement -

Menurut beliau, yuran berkenaan tidak sama sekali bermaksud pengiktirafan boleh dibeli, sebaliknya proses pemilihan dibuat berdasarkan penilaian pihak penganjur.

“Yuran penyertaan memang ada kerana ia sebuah persidangan antarabangsa. Perkara ini adalah normal seperti Malaysia Book of Records, Alam Ria, HIMPIT atau mana-mana pertandingan dan seminar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan yang tular berhubung penyertaan PASTI Terengganu dalam program berkenaan.

“Setiap pencalonan perlu melalui proses ketat termasuk penghantaran profil organisasi sebelum dinilai oleh pihak penganjur.

“Anugerah bukan dibeli melalui yuran, sebaliknya diberikan berdasarkan penilaian dan pencapaian yang ditetapkan oleh pihak penganjur,” jelasnya.

Tambah beliau, penilaian turut mengambil kira beberapa aspek termasuk pengurusan, pembangunan guru, inovasi, transformasi digital serta impak pendidikan.

“Alhamdulillah, PASTI Terengganu terpilih menerima pengiktirafan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Harakahdaily melaporkan Jabatan PASTI Negeri Terengganu telah mencipta sejarah apabila meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah Best Preschool of the Year pada World School Summit 2026 di Bangkok, Thailand.

Pengiktirafan itu disifatkan sebagai kejayaan besar dalam usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam di negeri ini, hasil komitmen warga pendidik PASTI Terengganu. – HARAKAHDAILY 4/6/2026

- Advertisement -