
BESUT: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr) Mohd Amar Abdullah mengingatkan para pemuda agar memenuhi diri dengan bekalan untuk meneruskan perjuangan Islam yang panjang dan mencabar.
“Saya percaya banyak perkara yang telah disentuh dan diberikan kepada para peserta HIMPIT pada tahun ini. Kita harap semuanya dapat dihadam dalam hati dan dijadikan bekalan untuk meneruskan perjuangan kita,” katanya.
Mohd Amar berkata, perjuangan menegakkan Islam bukanlah suatu perjalanan yang mudah, sebaliknya menuntut kesabaran, ketahanan dan persediaan yang berterusan.
“Perjuangan menegakkan Islam ini ialah suatu perjuangan yang jauh, suatu perjuangan yang panjang dan suatu perjuangan yang sukar. Perjalanan kita dipenuhi dengan onak dan duri, manakala tempohnya pula panjang.
“Sebab itulah stamina kita mesti lebih kuat, bekalan kita mesti lebih banyak dan ketahanan kita juga mestilah tinggi,” ujarnya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Menurut beliau, kekuatan diri dan bekalan rohani yang mencukupi akan membantu para pendukung perjuangan menghampiri kemenangan dijanjikan Allah SWT.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa cabaran yang dihadapi tidak seharusnya melemahkan semangat, sebaliknya menjadi proses membentuk kematangan serta memperkukuhkan daya tahan diri.
“Yang penting ialah kualiti diri kita dan daya tahan kita supaya kita mampu sampai ke destinasi. Itu yang paling utama,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.
Beliau turut menegaskan bahawa persiapan dalam perjuangan Islam perlu dilakukan secara menyeluruh meliputi aspek fizikal dan spiritual.
Katanya, Islam tidak mengajar umatnya mengasingkan diri daripada masyarakat untuk mencapai kesempurnaan ibadah, sebaliknya menuntut mereka hidup bersama masyarakat, berinteraksi dengan rakyat serta berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
“Persiapan itu bukan hanya dari sudut fizikal tetapi juga spiritual. Kita tidak memisahkan diri daripada masyarakat. Sebab itu apabila Nabi SAW memberikan panduan dalam perjuangan, semuanya berkait rapat dengan kehidupan bermasyarakat,” jelasnya.
Beliau berharap peserta HIMPIT dapat memanfaatkan ilmu, pengalaman dan pengisian yang diperoleh sepanjang program itu bagi melahirkan pendukung perjuangan Islam yang istiqamah, berdaya tahan serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.- HARAKAHDAILY 5/6/2026















