Tidak boleh kekalkan ‘rosak dulu, baiki kemudian’

PN cadang empat langkah segera perkukuh sistem rel negara

Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Ir Ts Khairil Nizam Khirudin mendesak Prasarana Malaysia Berhad supaya memperkukuhkan sistem pemantauan serta melaksanakan penilaian teknikal secara berkala.

Pengukuhan sistem pemantauan itu jelas beliau bagi memastikan tahap kesihatan aset, sistem isyarat, rolling stock dan infrastruktur kritikal sentiasa berada pada tahap optimum.

- Advertisement -

Desakan itu merupakan salah satu langkah segera daripada empat langkah yang dicadangkan beliau bagi memperkukuhkan sistem pengangkutan awam.

Beliau mencadangkan perkara tersebut susulan kekerapan gangguan teknikal dan kerosakan sistem rel bandar, khususnya perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang.

Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan (MOT) pula disaran memperkenalkan pelaporan prestasi awam secara berkala merangkumi kadar ketepatan masa, kekerapan gangguan, tempoh pemulihan serta indikator prestasi utama yang boleh dinilai rakyat.

“Antara indikator yang boleh dipertimbangkan termasuk kadar ketepatan masa perkhidmatan, Mean Distance Between Failure (MDBF), tempoh pemulihan gangguan serta availability system.

“Prinsip akauntabiliti perlu diperkukuhkan agar keyakinan pengguna dapat dipulihkan,” ujar Pengerusi Lajnah Pembangunan Modal Insan dan Tenaga Profesional PAS Pusat itu dalam kenyataan.

Beliau turut mencadangkan pendekatan penyelenggaraan diubah daripada bersifat reaktif kepada strategi jangka panjang yang lebih mampan dan berpandangan jauh bagi memastikan keupayaan sistem memenuhi permintaan pengguna yang terus meningkat.

Tambah Ahli Parlimen Jerantut itu, amalan terbaik pengurusan aset termasuk analisa risiko dan jangka hayat perlu dilaksanakan.

Selain itu, beliau menggesa majikan mempertimbangkan pelaksanaan sementara mod kerja hibrid atau waktu kerja fleksibel sebagai langkah mitigasi ketika gangguan besar atau berpanjangan berlaku.
Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut penting bagi mengurangkan kesan terhadap produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Dalam pada itu, beliau mengakui memahami keresahan orang awam dan warga kota berhubung kekerapan gangguan teknikal serta kerosakan sistem pengangkutan awam utama yang memberi kesan langsung terhadap keyakinan pengguna kepada sistem pengangkutan awam negara.

“Insiden gangguan yang berlaku pada waktu puncak hari bekerja bukan sahaja menjejaskan pergerakan rakyat, malah memberi implikasi yang lebih besar terhadap produktiviti ekonomi negara.

“Rangkaian pengangkutan rel bandar kini menjadi nadi utama mobiliti warga kota dengan ratusan ribu hingga melebihi sejuta perjalanan harian bergantung kepada sistem LRT, MRT, Monorel dan BRT (Transit Aliran Bas).

“Apabila sistem terganggu, kesannya dirasai secara langsung oleh rakyat, khususnya golongan pekerja dan ‘Generasi Sandwich’ yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup, kesesakan jalan raya dan cabaran mengimbangi tuntutan pekerjaan serta keluarga,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa gangguan yang berlaku secara berulang perlu dilihat bukan sekadar isu operasi harian, tetapi petunjuk bahawa sistem memerlukan penambahbaikan yang lebih menyeluruh dan berstruktur.

Beliau menyatakan, sistem rel bandar memerlukan disiplin penyelenggaraan kitaran hayat yang ketat, pemantauan prestasi aset secara berterusan dan pelaburan penyelenggaraan yang mampan.

“Sistem rel bandar merupakan sistem kritikal yang kompleks dan saling bergantung antara rolling stock, sistem isyarat, bekalan kuasa, komunikasi serta operasi rangkaian.

“Justeru, sebarang kegagalan teknikal perlu ditangani melalui pendekatan kejuruteraan dan pengurusan aset yang menyeluruh, bukan sekadar penyelesaian jangka pendek,” tegasnya.

Justeru beliau menegaskan rakyat tidak menuntut sistem yang sempurna, namun berhak mendapat sistem pengangkutan awam yang boleh dipercayai, selamat dan konsisten.

“Sudah tiba masanya pendekatan yang lebih sistemik, telus dan berorientasikan penyelesaian jangka panjang diberi keutamaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2026

- Advertisement -