Jenama PASTI tetap dipercayai walau di kubu BN

- Advertisement -

BAKRI: Di sebalik berbagai persepsi negatif terhadap Pusat Asuhan Tadika Islam (PASTI) dikelolakan Pemuda PAS, jenama ini tetap menjadi pilihan ibu bapa di sekitar Parlimen ini, walaupun Johor bukanlah negeri yang dikuasai PAS.

- Advertisement -

Semenjak 1989, sebaik sahaja cawangan pertama dibuka untuk operasi, PASTI di Taman Pelindung telah menerima 20 pelajar pertama yang mendaftar bagi memulakan pendidikan pra-sekolah dengan seorang guru, tanpa mengira latar belakang keluarga mereka.

Sehingga kini, PASTI di Kawasan Bakri telah mencatatkan pertambahan sehingga 12 cawangan dan jumlah keseluruhan pelajar seramai 650 murid semasa dan pada waktu ini, pendaftaran bagi sesi 2027, sudah hampir penuh.

Pengarah PASTI Kawasan Bakri, Ustaz Iskandar Ghani Ismail berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program Fun Walk PASTI Kawasan Bakri bertempat di Tengku Mahkota Ismail Youth Club (TMIYC), Muar, di sini pagi tadi.

Ditanya berkenaan sebarang sekatan pernah dihadapi oleh pengurusan PASTI sebelum ini memandangkan Johor kubu kuat Umno, beliau mengakui ada beberapa masalah dihadapi pada permulaan penubuhan kerana berbagai persepsi negatif diberikan kerana ia melibatkan PAS.

“Memang ada beberapa masalah pada permulaan dahulu kerana Johor ini kubu kuat Umno. Tetapi alhamdulillah sekarang lebih terbuka dan orang-orang sekarang lebih memahami dan sudah tiada masalah sekatan.

“Tetapi yang timbul sekarang hanyalah sedikit masalah kekurangan PASTI untuk menampung keperluan ibu bapa, jika di kampung mungkin agak kurang, tetapi jika di bandar, mungkin boleh ‘support’ lagi.

“Kita memang ada cadangan untuk membuka cawangan baharu, tetapi kita akan melihat dahulu keperluan dan kekosongan di kelas-kelas yang ada yang dilihat masih boleh menampung pelajar-pelajar,” terang beliau.

Ustaz Iskandar juga bersetuju bahawa PASTI sudah menjadi jenama dipercayai ibu bapa di sebalik segala tohmahan negatif oleh sesetengah pihak seperti elaun sedikit yang dibayar kepada guru-guru kerana rakyat sudah memahami inilah antara cara PAS membantu rakyat.

Turut hadir ialah calon PN bagi DUN Simpang Jeram Awang @ Arshed Yahya sebagai perasmi program dan beliau juga sempat bersama ibu bapa dan pelajar berjalan sejauh 500 meter beramai-ramai sebagai gimik perasmian program.

Dalam ucapan perasmian itu beliau menekankan agar ibu bapa memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat kerana solat adalah tiang kepada agama; sekurang-kurangnya kewajipan solat akan membekas di dalam jiwa anak-anak ini.

Program turut mengadakan pertandingan sukaneka dan disertai seramai kira-kira 600 ibu bapa dan pelajar PASTI di seluruh Kawasan Bakri. – HARAKAHDAILY 4/7/2026

- Advertisement -