
BEBERAPA hari lepas Tun Mahathir sedaya upaya menukilkan pesan surat terbuka yang ditujukan kepada umat Melayu supaya bersolidariti dan mengundi calon Melayu merentas parti politik atau NGO pada Pilihan Raya Umum (PRU) demi memelihara kepentingan politik terbesar Malaysia itu.
Kenyataan itu dilihat selari dengan gesaan terbuka kepimpinan tertinggi PAS supaya ahli mereka di Johor mengundi calon BN di kawasan yang tidak ditandingi PERIKATAN NASIONAL demi mengekang kemaraan PH supaya negeri Johor kelak berjaya ditadbir kerajaan bertunjangkan Melayu dan Islam.
Ianya disambut baik kepimpinan tertinggi BN dan dilihat sebagai sokongan tambahan yang baik malah Ketua Pemuda Umno menyatakan hasratnya agar jentera PAS dapat berkempen untuk BN.
Maka kita memahami jika kenyataan Tun M yang tidak lebih kepada memberi peringatan bahawa masa depan negara ini amat bergantung kepada kestabilan politik semasa khasnya di kalangan blok kuasa terbesar Malaysia yang kini berpecah itu digelar ‘race-baiting’.
Hakikatnya kesatuan politik tempatan yang rapuh tentunya bakal menjerumus negara ke kancah ketidakstabilan sosial dan tentunya memberi kesan langsung kepada agenda perekonomian negara khasnya apabila politik dunia dilihat semakin goyah dek serangan Amerika Syarikat dan sekutunya Israel menyerang mula Iran sehingga mengakibatkan Teluk Hormuz ditutup beberapa ketika.
Martin Vengadesan nampaknya tidak menunggu lama untuk mengkritik Tun M dan blok politik Melayu dengan ‘I think it’s horrible that such blatantly polarising narratives get credit and worse still, has support from a portion of the voting public’.
Sekali lagi Tun M, negarawan yang lebih 20 tahun telah meyumbang bakti membangunkan negara ini dengan mengurangkan jurang kemiskinan malah berjaya mencipta sebahagian besar kumpulan pertengahan dengan kemakmuran ekonomi sehinggakan pernah dilabel sebagai salah satu ‘Harimau Asia’ ketika di puncaknya digambarkan sedemikian rupa.
Walhal kejayaan kepimpinan beliau terbukti tidak pernah menafikan atau cuba menepikan kumpulan pemodal bukan Melayu sehinggakan ada di kalangan mahakaya ini mengungguli senarai 10 Tertinggi Taikun Terkaya Malaysia yang disenaraikan Forbes walaupun sering dimomokkan kepimpinan kanan DAP sebagai bangsa kelas kedua, ketiga dan keempat di Malaysia hanya kerana mereka tidak mengundi DAP!
Label rasis suka pecah-belah masyarakat juga dilemparkan terhadap Menteri Besar (MB) Johor, Onn Hafiz Ghazi dek ikrar politik beliau tidak mahu duduk semeja waima menjalin kerjasama politik dengan DAP.
“DAP will never be part of a Barisan Nasional-led Johor government,” tegas MB muda itu lagi.
Perdana Menteri dilaporkan menyamakan penolakan kepada kerjasama BN dengan DAP oleh Pengerusi BN Johor itu sebagai tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana dikatakan cuba mengesampingkan komuniti tertentu.
Tegas Perdana Menteri seseorang individu tidak memilih untuk dilahirkan sebagai seorang Melayu, Cina atau India, ‘and we did not choose our skin colour’.
“In the Madani framework, we emphasise values. We do not want our children to grow up hating others because of their race,” yang dipetik portal-portal berita sebagai ‘menjawab’ kenyataan awal yang dibuat Onn Hafiz Ghazi.
Tidak pasti sama ada ianya benar-benar merujuk kepada pernyataan MB Johor itu namun hakikatnya beliau melaungkan kesatuan Bangsa Johor itu tidak pernah langsung cuba mengesampingkan mana-mana etnik minoriti hanya kerana BN menolak kerjasama dengan DAP malah menegaskan bahawa ‘ruling out DAP was not about the arrogance or racial sentiment, but about principle, mandate and responsibility towards the people of Johor’.
Sharaad Kuttan dari stesen radio BFM membangkitkan kenyataan itu disamakan dengan ‘dog-whistle’ menolak kumpulan tertentu sehingga tetamu Arthur Joseph Kurup menegaskan ianya pendekatan srategik semata-mata dan tidak langsung bersifat perkauman.
Terbaru giliran Timbalan Presiden PAN pula mengkritik bahawa tindakan menyalahkan DAP ‘was intended to inflame racial sensitivities’.
“The political reality is that (our) opponents are making issues out of race and religion. We see how they attack (PH) by saying ‘DAP is evil’” kata Mujahid Yusof Rawa lagi.
Walaupun Presiden MCA sendiri sebuah komponen BN sebelum itu telah menegaskan bahawa menolak DAP bukanlah tindakan berbaur perkauman kerana DAP adalah sebuah parti politik dan bukannya bangsa.
Malah tempelak beliau jika menolak DAP dilihat sebagai rasis bagaimana pula apabila DAP menolak MCA, Umno, PAS, MIC atau BERSATU bertahun-tahun sebelum ini?.
Malah Wee Ka Siong mengambil contoh pemahaman tersebut sebagai melabel orang Sabah khasnya etnik Cina yang memilih untuk menolak hegemoni politik DAP sebagai rasis terhadap DAP.
Malah Presiden MCA itu mengingatkan bahawa parti itu diberikan dua portfolio penting dalam kerajaan Johor yakni pelaburan dan perdagangan dan kesihatan dan alam sekitar.
“So to accuse Onn Hafiz of racism simply because BN Johor wants to contest on its own is unfair, irresponsible and politically dishonest”.
Setiausaha BN Johor pula menegaskan cubaan untuk mengaitkan pendirian BN sebagai penolakan terhadap masyarakat Cina sebagai pemikiran yang sempit malah tidak sihat untuk masa depan politik negara.
“Mengkritik DAP bukan bermakna mengkritik kaum Cina. Tidak bekerjasama dengan DAP juga bukan bermakna menolak masyarakat Cina”.
Pendirian itu juga dikongsi pempengaruh politik Eric Lim Lian See sambil menambah, ‘lemah sungguh hujah geng Pakatan Harapan. Bila orang sudah tidak mahu kawan mereka dan tidak termakan ugutan mereka, terus dilabel pula sebagai rasis’.
Menarik untuk diamati kumpulan yang sama mengkritik keras Onn Hafiz, kepimpinan PAS dan Tun M juga dilihat tidak menggunakan kayu ukur serupa terhadap tokoh senior DAP seperti Nga Kor Ming yang menyeru supaya Orang Cina kekal mengundi blok PH semata ‘demi memelihara demokrasi’. Malah menegah pengundi Cina daripada mengundi MCA dan memecahkan undi kerana populasi Orang Cina sedang menurun dan hanya akan tinggal sekitar 13.8 peratus pada 2050 kelak.
Jauh lebih awal Setiausaha Agung DAP sendiri apabila bercakap mengenai UEC (Unified Examination Certificate) menyeru Orang Cina untuk buka mata dan komuniti Cina untuk berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana UEC dibenarkan untuk kemasukan ke semua Universiti Awam.
Malah DAP kini didedahkan Neow Choo Seong menggunakan pendekatan menghasut dan perkauman apabila berkempen Undi BN=Undi Akmal semata-mata ‘untuk menakutkan pengundi Cina di dalam Pilihan Raya Negeri Johor’.
Peliknya kenyataan-kenyataan tersebut tidak cukup rasis kepada blok penyokong DAP-PH.
Sama seperti momokkan warga kelas kedua, ketiga dan keempat yang dibuat ke atas kaum Cina, diucapkan dalam bahasa Cina, bertahun lama namun cukup halal kepada kepimpinan DAP, parti DAP dan penyokong tegar mereka!
Persoalannya bukankah kumpulan yang cuba menyamakan DAP dengan etnik Cina sebenarnya bertindak race-baiting malah cuba menghasut kebencian dengan bermain sentimen perkauman?
Kenapakah mereka ini tidak ditegur atau dihadapkan ke muka pengadilan kerana menyentuh isu-isu yang terkait dengan 3R dan akta hasutan?
Adakah kerana mereka ini terdiri daripada pemimpin kepimpinan kerajaan Persekutuan, seperti duo yang memfitnah Kelantan baru-baru ini, lalu mendapat ‘free pass’ dan kebal sebarang tindakan undang-undang?
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 4/7/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.










