Berbaki tujuh hari, PAS Johor di landasan betul

- Advertisement -

BAKRI: “Secara keseluruhannya saya berpuas hatilah dengan apa yang sedang dilakukan oleh jentera pilihan raya kita bagi PRN Johor ini,” demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed.

- Advertisement -

Maklumnya, beliau sudah pergi ke DUN-DUN ditandingi iaitu Maharani, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Pasir Raja dan Tenang, selain Jementah dan hari ini, Simpang Jeram.

“Jadi pada keseluruhannya, masing-masing sudah menggerakkan jentera merekalah dengan bantuan jentera-jentera PAS dari seluruh negara,” katanya.

PAS bertanding di 11 kerusi DUN dengan menggunakan lambang PERIKATAN NASIONAL (PN) bersama BERSATU, GERAKAN dan MIPP daripada keseluruhan 33 kerusi yang ditandingi PN.

PAS juga katanya, tidak bermusuh dengan sesiapa walaupun dengan BERSATU yang telah dihentikan kerjasama politik dan juga Umno kerana PAS mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Jelas bekas Pengerusi As-Sibiqun PAS Pusat ini, pendirian itu dengan tujuan mencari kawan dan pengundi yang boleh menyokong PAS dengan kaedah menerang, bukan menyerang.

Walau bagaimanapun, PAS Johor tetap mempunyai DUN-DUN fokus yang diyakini akan menang bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi pembangkang konstruktif sekali gus memberikan kebaikan kepada kerajaan dan rakyat Johor nanti.

Bagi DUN-DUN mempunyai pengundi bukan Melayu Islam yang ramai pula, PAS Johor menerima bantuan daripada GERAKAN di mana turun berkempen bagi meyakinkan pengundi-pengundi untuk memberikan undi mereka kepada PN.

“Dengan orang bukan Islam kita santuni juga. Rakan-rakan kita dari GERAKAN telahpun turun dan berusaha serta menyatakan kesanggupan mereka menemui pengundi-pengundi bukan Melayu Islam bagi merayu undi.

“Peningkatan sokongan dari mereka semakin bertambah untuk PN dan kita yakin ini akan berlaku dalam bentuk undi kepada PN nanti,” jelas beliau dengan yakin.

Berkenaan dakwaan menyatakan PAS berpakat dengan BN untuk diberikan kerusi ADUN Lantikan pula, beliau menjawab PAS berunding dengan semua pihak hasil usaha oleh Presiden PAS dan dakwaan ini hanyalah andaian.

“Hal itu tidak ada apa-apa keputusan. Itu sebagai rundingan, kita boleh dengar dan tidak semestinya kita ikut. Tetapi tidak mustahil, umpamanyalah sebelah sana tidak cukup majoriti, kita menang banyak, kemungkinan kita akan boleh memberi kerjasama kepada kerajaan yang ada.

“Seperti kata Tok Guru (Presiden PAS) kita jaga Johor. Kemudian yang paling penting, Kerajaan Johor akan terus dipimpin oleh Melayu Islam. Sebab itulah dalam mengundi itu, yang penting, jangan undi PH, pasal jika mengundi PH, kita mengundi DAP,” tegas beliau.

Dato’ Mahfodz juga tidak yakin BN akan bersama dengan PH, sebagaimana yang ditawarkan oleh calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik yang PH sanggup bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan nanti.

Beliau berkeyakinan begitu kerana Dato’ Onn Hafiz Ghazi telah membuktikan pada penggal lalu, walaupun ada kerjasama antara Umno dan PH di Pusat, namun di Johor, tiada wakil PH yang dilantik dalam kerajaan beliau. – HARAKAHDAILY 4/7/2026

- Advertisement -