
KUALA TERENGGANU: Pelantikan Ketua Pembangkang perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen pembangkang bagi memastikan memastikan keputusan yang dicapai mendapat persetujuan semua pihak.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, soal pelantikan itu tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa kerana ia membabitkan bukan sahaja Perikatan Nasional (PN), malah parti komponen lain termasuk wakil dari Malaysia Timur.
Menurut beliau, pendekatan berhati-hati lebih wajar diambil bagi mengelakkan timbul sebarang masalah pada masa hadapan.
“Ketua Pembangkang ini perlu mengambil kira bukan sahaja ahli PAS, tetapi semua Ahli Parlimen pembangkang.
“Sebab itu kita perlu menunggu pandangan daripada semua pihak termasuk parti-parti komponen dan Ahli Parlimen dari Malaysia Timur,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Raya PAS Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Hussein Awang, Yang Dipertua Sidang DUN, Dato’ Mohd Nor Hamzah.
Mengulas tempoh masa yang diambil, Tuan Guru berkata, pelantikan itu dijangka dapat dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen akan datang yang dijadualkan berlangsung pada Jun.
“Masih ada masa kerana Parlimen hanya akan bersidang pada bulan enam,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang bagaimanapun menegaskan budaya demokrasi perlu dihormati dalam menentukan siapa yang layak memegang jawatan berkenaan.
“Kita sebuah negara demokrasi. Perlu hormati pandangan masing-masing. Dalam perkara ini, kita ambil sedikit masa kerana mahu keputusan yang dibuat nanti benar-benar mewakili semua pihak,” katanya.
Menurut Tuan Guru, kelewatan membuat keputusan tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya langkah bagi memastikan pelantikan itu dibuat secara lebih tersusun.
“Parlimen pun belum bersidang lagi. Orang tua kata, biar lambat asalkan selamat,” katanya.
Beliau turut mengulas spekulasi berhubung kemungkinan beberapa pemimpin menyertai PAS, dengan menegaskan perkara itu bergantung kepada individu dan tidak boleh dipaksa.
“Itu terpulang kepada individu masing-masing. Kita tidak boleh memaksa dan tidak boleh menjawab perkara yang masih berbentuk andaian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pertemuan dengan Muhyidin semalam bertujuan memperkukuh hubungan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN).
“Pertemuan itu adalah untuk mengeratkan hubungan antara parti-parti komponen supaya kita lebih bersedia menghadapi pilihan raya secara bersama,” jelasnya.
Menurutnya, setakat ini hubungan dalam PN berada dalam keadaan baik walaupun terdapat perbezaan pandangan.
“Alhamdulillah, tiada masalah. Walaupun ada perbezaan pendapat, kita tetap bersatu dari segi dasar dan matlamat,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
Katanya, susulan peletakan jawatan itu, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PN untuk menghantar surat rasmi bagi memaklumkan kekosongan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 16/4/2026




















